TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA 'IDIL FITRI
1444H / 2023M
ANJURAN
YAYASAN SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH
PADA HARI ISNIN:
10 SYAWAL 1444H / 01 MEI 2023M
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Mula-mula kita rafa'kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan limpah rahmatNya jua dapatlah kita merayakan 'Idil Fitri yang mulia ini.
Dalam suasana kemeriahan meraikan 'Idil Fitri, kita hendaknya tidak melupakan cabaran penularan wabak koronavirus di fasa endemik ini. Kita perlu terus menghormati dan mengamalkan protokol kesihatan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memelihara kesejahteraan bersama.
Kita juga perlu menyedari, bahawa selain penularan dan kesan wabak koronavirus, dunia kita juga sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran yang semakin kompleks. Maka di sinilah semua pihak perlu membuat perancangan yang strategik untuk meneruskan kelangsungan pembangunan dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.
Beta menyambut baik tema Sambutan Hari Raya anjuran Yayasan kali ini iaitu “Memperkasakan Penglibatan Masyarakat Dalam Mencapai Wawasan Brunei 2035". Wawasan ini adalah aspirasi masa depan bagi Negara Brunei Darussalam untuk menjadi sebuah negara yang dikenali mempunyai penduduk berpendidikan tinggi, berkemahiran dan berjaya serta mempunyai ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.
Dalam kita sama-sama merealisasikan Wawasan Negara, semua pihak termasuk sektor kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan serta seluruh rakyat dan penduduk, perlulah serentak berusaha untuk menjayakan matlamat Wawasan Brunei 2035 dengan semangat dan pendekatan senegara “Whole of Nation Approach" yang mantap.
Sehubungan itu, Beta gembira mengalu-alukan kehadiran para peserta sambutan tahun ini yang terdiri daripada para pegawai dan kakitangan dari Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government Linked Companies – GLC) dan Syarikat Swasta termasuk Badan-Badan Berkebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan. Beta difahamkan bahawa Syarikat GLC dan syarikat swasta yang dijemput adalah mereka yang aktif melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibilities – CSR). Keprihatinan mereka mengambil berat terhadap kebajikan rakyat tentu saja memberi impak positif kepada matlamat Wawasan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan negara.
Beta juga sukacita mengalu-alukan kehadiran sebahagian golongan warga emas, para belia dan generasi muda yang terdiri daripada para pelajar, yang mewakili seluruh lapisan penduduk. Inilah yang kita harapkan supaya semua lapisan bukan hanya setakat mengambil tahu malah juga menjiwai matlamat Wawasan, bukannya asyik leka dengan keseronokan yang melalaikan.
Dalam konteks Negara Brunei Darussalam untuk mencapai Wawasan Brunei 2035, bukanlah semata-mata diasaskan kepada kemajuan fizikal dan pencapaian pendidikan serta kemahiran, termasuk pendapatan per kapita yang ditakrifkan sebagai maju. Tetapi turut paling utama ialah keberkatan dalam semua aspek kehidupan menurut landasan Ugama Islam yang suci, kerana inilah kunci kejayaan yang hakiki disertai dengan pengamalan falsafah Melayu Islam beraja yang telah kita sebatikan.
Akhirnya, Beta merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada semua lapisan warga Yayasan dan semua mereka yang terlibat mengungkayahkan Sambutan Hari Raya 'Idil Fitri pada tahun ini.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.