Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Semasa Majlis Bersama Penuntut-penuntut serta Rakyat dan Penduduk yang berada di Australia dan New Zealand

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMASA MAJLIS BERSAMA PENUNTUT-PENUNTUT SERTA RAKYAT DAN PENDUDUK YANG BERADA DI AUSTRALIA DAN NEW ZEALAND 

TARIKH:
SELASA, 1 ZULHIJJAH 1444 / 20 JUN 2023 

TEMPAT:
PARK HYATT MELBOURNE,
MELBOURNE, AUSTRALIA

 

Beta sangat bersyukur, kerana dapat bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di Australia, terutama para pelajar, pegawai-pegawai Kerajaan yang bertugas di sini dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Pertemuan ini adalah merupakan saat yang dinantikan kerana ianya memberi peluang kepada Beta untuk bersemuka dengan penduduk dan rakyat Beta, khususnya para pelajar yang sedang mengikuti pengajian mereka di sini.

Peluang belajar di luar negara adalah merupakan pengalaman berharga. Oleh itu, gunakanlah peluang ini sebaiknya semata-mata untuk menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran diri.

Masa depan sesebuah negara banyak bergantung kepada sumber tenaga manusianya yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi, sebagaimana terpahat menjadi matlamat utama Wawasan Brunei 2035.  Oleh itu, para pelajar di mana sahaja mereka berada adalah memainkan peranan amat penting dalam melakar masa hadapan yang cemerlang.

Sehubungan itu, Beta ingin mengingatkan kepada para pelajar, bahawa berada di luar negara bukanlah untuk leka dan lalai, tetapi ketika inilah peluang terbuka untuk membina diri dan syakhsiah dengan ilmu-ilmu yang bermanfa'at, serta juga lebih utama tidak mengabaikan kewajipan berugama seperti sembahyang lima waktu, membaca Al-Qur'an dan lain-lain tuntutan amal salih.

Beta percaya para pelajar menyedari akan cabaran-cabaran dalam pengajian.  Dengan bilangan mereka yang kecil, Unit Ataci Pendidikan bersama para pelajar sendiri dan sokongan Kementerian Pendidikan boleh meneroka cara-cara untuk mengatasi cabaran-cabaran ini. Selain daripada meningkatkan kemahiran pengurusan dan perancangan kewangan, Beta percaya, para pelajar dapat memartabatkan budaya orang Brunei dan menjunjung tinggi falsafah Melayu Islam Beraja di mana sahaja mereka berada.  Selain itu, mereka juga tidak akan ketinggalan untuk beramal dengan vaksin ketuhanan, berupa zikir, do'a, selawat dan membaca Al-Qur'an. Kerana ini adalah perisai kita untuk menolak mudharat dan musibah.

Insya Allah, dengan berkat kecekalan, ketabahan dan ketahanan jati diri, para pelajar akan mampu untuk mengharungi segala cabaran dan bangkit dengan semangat berkobar-kobar untuk berjaya dalam pengajian.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendo'akan agar semua pelajar dan pegawai-pegawai yang bertugas di sini sentiasa berada dalam aman sejahtera di bawah pemeliharaan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. ​


Attachments