TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
DI MAJLIS SAMBUTAN NUZUL AL-QUR'AN PERINGKAT NEGARA
BAGI TAHUN 1444H / 2023M
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana berpeluang lagi menghidupkan bulan Ramadhan dan meraikan peristiwa turunnya kitab suci Al-Qur'an.
Tidak syak lagi peristiwa Nuzul Al-Qur'an adalah merupakan detik yang amat bersejarah bagi umat Islam. Al-Qur'an akan kekal terpelihara dari sebarang kecacatan dan terselamat dari ancaman anasir-anasir jahat sehingga ke hari kiamat.
Oleh yang demikian, kita tidaklah perlu khawatir dengan pelbagai kejahatan yang dilakukan ke atas Al-Qur'an, kerana bukan kita yang menjaganya tetapi Allah Subhanahu Wata'ala selaku penjaga mutlak kitab yang mulia ini.
Apa yang perlu kita buat ialah merujuk kepada Al-Qur'an sebagai panduan dalam semua perkara duniawi dan ukhrawi dengan membaca dan beramal dengan ajarannya. Hanya dengan cara inilah langkah kita akan terarah ke jalan yang selamat di dunia dan di akhirat.
Daripada Abdullah bin Mas'ud Radhiallahu 'anhu, Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:
Maksudnya: “Al-Qur'an ini adalah merupakan hidangan Allah. Maka terimalah hidangan-Nya itu semampumu. Sesungguhnya Al-Qur'an merupakan tali Allah, cahaya yang terang dan ubat yang mujarab iaitu perlindungan bagi orang yang berpegang dengannya, kejayaan bagi orang yang mengikutnya, dan tidaklah seseorang itu terpesong melainkan dengan (Al-Qur'an) dia akan kembali ke pangkal jalan, dan tidaklah seorang itu menyimpang melainkan dengan (Al-Qur'an) dia menemui jalan yang lurus..."
(hadits riwayat al-Hakim)
Tema Majlis Nuzul Al-Qur'an pada tahun ini berbunyi: Bersabar, Berikhtiar, Bertawakal dan Berdo'a dalam menghadapi segala ujian dengan petunjuk Al-Qur'an adalah gambaran kebenaran tentang hadis tadi.
Al-Qur'an adalah santapan yang membekalkan kekuatan kepada para hamba. Al-Qur'an mengajak kita bersabar kerana sabar adalah penawar. Al-Qur'an menyuruh kita berikhtiar kerana ikhtiar adalah cahaya yang menyuluh. Al-Qur'an memandu ke jalan yang lurus sewaktu kita bertawakal, dan Al-Qur'an yang memiliki keajaiban tiada henti-hentinya menyuruh kita berdo'a mengharap pertolongan Allah.
Sebab itulah semasa berhadapan dengan kepayahan dan kesukaran, sabar adalah menjadi kekuatan untuk bertahan, kerana kita tahu bahawa Allah Subhanahu Wata'ala sentiasa bersama dengan orang-orang yang bersabar dan adapun ujian merupakan tanda kasih sayang Allah ke atas hamba-Nya. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: “Seorang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya dan yang paling baik akhlak adalah orang yang paling sabar dalam kesulitan". (hadis Riwayat Bukhari).
Ikhtiar pula adalah ibadah. Al-Qur'an menyuruh kita supaya berusaha untuk mencapai matlamat memperbaiki kehidupan kita. Sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam yang maksudnya: “Apabila kamu ditimpa musibah, maka berikhtiarlah, kerana sesungguhnya setiap kesusahan itu disertai dengan kemudahan". (Hadis riwayat Bukhari).
Dan akhir sekali berdo'a setelah bertawakal. Do'a pula adalah rasa kehambaan dan kerendahan diri kita di hadapan Allah. Allah sangat hampir dan sentiasa untuk mengurniakan belas kasihan terhadap para hamba yang meminta.
Oleh itu, keberadaan kita di abad teknologi tinggi ini, sewajarnya kita semakin dekat dengan Al-Qur'an. Tiada alasan untuk kita berdalih untuk melambat-lambatkan berdamping dengan Al-Qur'an.
Mengambil sukut baik di Bulan Ramadhan ini, marilah kita berazam untuk melazimi diri dengan Al-Qur'an, supaya kita dan negara sentiasa diilhami dengan cahaya Al-Qur'an.
Maka Beta dengan ini tidak lupa merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua peserta, khasnya mereka yang berjaya di dalam Musabaqah Menghafaz Al-Qur'an Berserta pemahamannya Peringkat Kebangsaan dan Peringkat negara Anggota MABIMS Tahun 1444 Hijrah bersamaan 2023 Masihi.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.