Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM semasa Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1444H/2023M

TITAH

KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA

SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI

AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI

WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

DI MAJLIS

MUSABAQAH MEMBACA AL-QUR'AN BAHAGIAN

DEWASA PERINGKAT AKHIR KEBANGSAAN BAGI

TAHUN 1444H / 2023M.

 

PADA:

HARI KHAMIS MALAM JUMAAT

18 ZULHIJJAH, 1444H

BERSAMAAN 6 JULAI, 2023

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

 

​Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dengan 'inayah-Nya jua dapatlah kita bersama-sama berkumpul dalam Majlis Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Bagi Tahun 1444 Hijrah bersamaan Tahun 2023 Masihi Kali Ke-65 ini.

Al-Quran adalah petunjuk dan rahmat untuk umat Manusia bagi mengeluarkan mereka dari kesesatan ke jalan yang lurus, sebagaimana firman Allah dalam surah Yunus ayat 57, tafsirnya:

“Wahai manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu (Al-Quran yang menjadi) pangajaran daripada Tuhan kamu dan ubat penyembuh bagi (penyakit) yang ada di dalam dada, dan (juga) petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman"

Al-Quran menurut ayat ini bukan sahaja untuk jadi pedoman bagi umat Islam, malah untuk manusia seluruhnya. Terpulanglah sama ada orang mahu menerimanya ataupun tidak. Siapa yang mahu menerima akan selamat dan yang tidak mahu akan kekal dalam kesesatan.

Di masa senang dan bahagia, kita diseru supaya bersyukur, dan dimasa susah kerana musibah, kita diseru supaya bersabar dan redha terhadap qadha dan qadar Allah.

Ini selaras dengan galakkan menyemai sifat-sifat mahmudah (terpuji) dalam menghadapi sebarang ujian atau kesusahan, sebagaimana telah kita lalui semasa menghadapi gelombang pandemic Covid-19. Ketika itu kita membanyakkan munajat kepada Allah supaya kekal di bawah perlindungan-Nya. Alhamdulillah, do'a kita rasa-rasanya telahpun diperkenankan.

Menyebut perkara do'a ini, Beta difahamkan bahawa turut menyangkut ialah hal ehwal permakanan, sebagaimana Hadits Riwayat Muslim ada menceritakan tentang seorang lelaki yang berjalan jauh sehingga rambutnya tidak terurus, penuh dengan debu, kemudian dia menadahkan tangannya ke langit berdo'a: “Ya Tuhanku! Ya Tuhanku!" Sedang makanan dan minumannya dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan mengkabulkan do'anya?

Jelas dari Hadits ini, hukum makanan adalah wajib halal. Oleh itu Beta sentiasa mengingatkan kepada semua pihak yang diamanahkan untuk memastikan kehalalan makanan supaya bertugas dengan betul, dengan berpandu dan berpegang kuat kepada hukum syarak, bukannya bertolak ansur melonggar-longgarkan hukum.

Orang-orang Islam wajib mematuhi suruhan Allah untuk hanya makan makanan yang halal sahaja, sebagaimana suruhan ini terakam dalam ayat 168 Surah Al-Baqarah, tafsirnya: “Wahai manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi (makanan) yang halal lagi baik.

Demikian mengenai do'a dan hubungannya dengan makanan halal, seyogia ia ditangani dengan telus, berani dan amanah berpandukan hukum syarak.

Untuk akhirnya, marilah kita sama-sama mendampingkan diri kepada Al-Quran, dengan membaca dan mentadabbur ayat-ayatnya, supaya dengan itu hati yang tidur akan jaga dan dada yang gelap akan bersuluh dengan cahaya, insya Allah.

Kepada johan Qari dan Qariah serta juga semua yang berjaya ke Peringkat Akhir Kebangsaan pada tahun ini, Beta tidak lupa merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Attachments