TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA YANG KE-77
TAHUN 1444H/2023M
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpah rahmat-Nya mengizinkan kita sama-sama menyambut Hari Keputeraan Beta yang ke-77 dalam suasana aman dan selamat.
Terlebih dahulu, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah menghantar perutusan ucap selamat kepada Beta dan keluarga bersempena dengan sambutan ini.
Dunia sekarang sedang melalui pelbagai ketidaktentuan seperti ketegangan geopolitik, perubahan iklim dan kadar inflasi yang tinggi dan seumpamanya. Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali dari turut terkesan dengan ketidaktentuan ini.
Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada barangan import, Negara Brunei Darussalam juga berhadapan dengan kadar inflasi yang tinggi berbanding dengan kadar inflasi pada tahun sebelum penularan Covid-19.
Namun alhamdulillah, melalui usaha bersama pelbagai agensi kerajaan, kita masih sahaja mampu untuk menguruskan kadar inflasi di negara ini pada kadar yang rendah berbanding dengan negara-negara lain di rantau ini.
Beta menyeru semua lapisan rakyat dan penduduk untuk memperkuat semangat dan determinasi kita dalam menghadapi situasi yang sukar ini. Marilah kita sama-sama menggalas usaha dan memberanikan diri untuk melangkah lebih yakin ke hadapan.
Untuk menjamin kesejahteraan rakyat dan penduduk, Beta telah memperkenankan bagi pelaksanaan Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) pada 15hb. Julai 2023, untuk menggantikan Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan Skim Persaraan Caruman Tambahan (SCP). Beta sukacita menegaskan bahawa SPK ini bukan sahaja bertujuan untuk mengukuhkan kesejahteraan para ahli semasa persaraan nanti, malah skim ini juga akan memberikan pendapatan persaraan yang lebih baik. Beta berharap semua pekerja, sama ada dalam sektor formal dan tidak formal untuk sama-sama membuat caruman SPK.
Sebagai bandingan, Skim TAP hanya mampu untuk menyumbangkan manfaat kewangan dalam kadar dan tempoh yang terhad sahaja sehingga umur 55 tahun, dimana selepas itu, sepanjang tempoh 5 tahun kemudian tidak akan menerima apa-apa lagi manfaat. Sementara manfaat SCP pula hanya baru akan diterima setelah mencapai umur 60 tahun untuk 20 tahun sahaja. Berbanding Skim SPK insya Allah, adalah menjanjikan jaminan lebih kukuh dimana para pesara akan menikmati pendapatan bulanan yang lebih baik dan malah akan menerimanya untuk “sepanjang hayat", dalam makna Skim SPK tidak diragukan lagi adalah sama atau seakan-akan sama sahaja manfaatnya dengan Skim berpencen. Inilah kelebihan Skim SPK.
Pihak Kerajaan beta juga akan memperkenalkan gaji minima merentasi semua sektor industri bagi pekerja swasta secara berperingkat, selaras dengan amalan terbaik di peringkat serantau dan antarabangsa. Beta ingin melihat semua pihak yang berkenaan, terutama sekali sektor perniagaan untuk menyokong inisiatif ini, kerana ia merupakan satu kemajuan ke arah mengukuhkan kehidupan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk.
Bagi memastikan terjaminnya kesejahteraan rakyat dan penduduk, Beta ingin melihat pihak-pihak yang berkepentingan akan lebih aktif mengkaji dan meningkatkan lagi tahap pencapaian masing-masing, selaras dengan penanda aras antarabangsa. Ini termasuk juga semua perkhidmatan Kerajaan Beta dan yang disediakan oleh sektor swasta seperti sumber bekalan elektrik dan sumber air. Ini semua adalah asasi untuk kelangsungan hidup dan aktiviti perekonomian.
Bagi sektor-sektor perniagaan, perdagangan dan pelaburan pula, Kerajaan beta telah menandatangani beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman dengan beberapa buah negara untuk memperluaskan lagi peluang di bawah sektor-sektor tersebut.
Beta berharap pihak-pihak berkenaan akan dapat memberikan penerangan secara berterusan kepada sektor perniagaan mahupun pihak-pihak yang berminat, khususnya para peniaga dan Dewan-Dewan Perniagaan, agar mereka mengetahui platform-platform yang ada di peringkat dua hala serta pelbagai hala, seperti Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (C.P.T.P.P); Regional Comprehensive Economic Partnership (R-CEP) Agreement; dan ASEAN FTA. Semua pihak di sini, perlu bekerjasama mengendalikan tadbir urus yang kukuh, untuk pertumbuhan ekonomi dan perniagaan berdaya tahan.
Menyentuh isu pengangguran, kadar pengangguran pada masa ini berada pada tahap terendah sejak 10 tahun yang lalu. Kadar pengangguran pada penghujung tahun 2022 adalah sebanyak 5.2%, meningkat sedikit daripada 4.9% pada tahun 2021. Beta difahamkan bahawa pihak Manpower Planning Employment Council (M.P.E.C) akan terus bekerjasama rapat dengan sektor perniagaan untuk mengenalpasti pekerjaan yang bersesuaian bagi tenaga kerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran.
Negara Brunei Darussalam juga perlu bergerak lebih cepat, dengan menggalakkan lebih banyak Foreign Direct Investment yang berkualiti untuk membantu mempelbagaikan ekonomi, dan dalam masa yang sama, menyediakan peluang pekerjaan dan 'spin off' untuk Perniagaan Kecil dan Sederhana tempatan.
Mengenai Perubahan Iklim, Beta telahpun memperkenankan Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BNCCP), yang menggariskan 10 strategi untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan membuka jalan bagi Negara Brunei Darussalam untuk ber-karbon rendah dan climate-resilient.
Negara Brunei Darussalam telah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau tahunan dan akan terus mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 20% menjelang 2030, selaras dengan komitmennya di bawah Perjanjian Paris dan telah berjanji untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh lapisan rakyat dan penduduk, Warga Perkhidmatan Awam, Pasukan-Pasukan Keselamatan serta mereka yang berkhidmat di sektor swasta, termasuk mereka yang bertugas di luar negara di atas sumbangan dan sokongan mereka kepada Kerajaan Beta.
Beta juga tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Ahli Jawatankuasa Perayaan di Peringkat Kebangsaan dan Peringkat Daerah di atas segala usaha dan Khidmat yang mereka hulurkan bagi menjayakan Perayaan ini.
Semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberkati kita semua dan mengurniakan kepada Negara Brunei Darussalam keamanan dan keselamatan. Amin.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.