Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Tahun Baru Hijrah 1445

TITAH PERUTUSAN
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

TAHUN BARU HIJRAH 1445

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta merafa'kan syukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, dapatlah kita memasuki gerbang Tahun Baru Hijrah 1445.

Bermula pada tahun 1445 Hijrah ini, nama Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah, kita gantikan dengan “SAMBUTAN ILAL HIJRAH". Ilal hijrah membawa maksud “Kearah penghijrahan", dalam makna, kita bergerak mengubah atau memperbaiki kehidupan yang kurang baik kepada yang lebih baik.

Beta menyambut baik perubahan ini, untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat mahupun negara.

Tema sambutan kali ini 'Ugama Dipelihara, Negara Sejahtera'. Konsep tema ini diambil dari salah satu Maqasid Syar'iah iaitu memelihara ugama. Ugama yang dimaksudkan tidak lain, ialah Ugama Islam.

Fungsi ugama ialah untuk mengatur kehidupan manusia. Ia menjadi punca kepada wujudnya kebajikan bagi penganutnya.

Di sinilah pentingnya Maqasid Syar'iah itu bagi memastikan urusan kehidupan berjalan dengan sempurna, sama ada urusan peribadi mahupun urusan berupa pentadbiran negara.

Alhamdulillah, Beta mengambil maklum Kementerian Hal Ehwal Ugama telah merintis langkah menyebarluaskan kefahaman mengenai Maqasid Syar'iah, bukan sahaja di sektor kerajaan, malahan juga di sektor-sektor swasta. Beta ingin menyarankan supaya pihak berkenaan memberigakan perkara ini ke seluruh lapisan masyarakat di negara ini, bukan sahaja di kawasan bandar, bahkan juga di kampung-kampung.

Beta yakin, kesan dari memelihara ugama, rakyat di negara ini akan terus menerus menikmati kemakmuran, di mana Kerajaan beta sentiasa berusaha untuk memastikan, tiada seorang rakyat pun yang akan dibiarkan melarat tanpa dibela.

Sehubungan itu juga, Beta telah memperkenankan penaiktarafan Bahagian Kutipan dan Agihan Zakat, Jabatan Majlis Ugama Islam menjadi Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Beta difahamkan Jabatan ini dengan rasminya akan beroperasi pada Hari Rabu, 1 Muharram 1445 Hijrah bersamaan 19 Julai 2023 Masihi. Dengan tertubuhnya Jabatan ini, hal ehwal pengurusan zakat dari sudut pengagihan dan keberkesanan, termasuk pelaksanaan program-program lain, dijangka akan lebih efektif dan efisien. Begitu juga dalam perkara pengurusan wakaf dan harta-harta Baitulmal akan menumpukan usaha ke arah mempelbagaikan pengurusan dan penggunaan waqaf disamping mengurus dan mengembangkan harta-harta Baitulmal.

Beta sukacita mengambil peluang menyeru seluruh rakyat dan masyarakat di negara ini untuk sama-sama berganding bahu melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi memelihara kesejahteraan yang kita nikmati tanpa mengira kedudukan, latar belakang dan sebagainya, kerana walaupun secara zahir keadaan kita berlainan, namun matlamat adalah sama sahaja untuk mempertahankan kesejahteraan negara yang kita cintai ini dengan berpandukan Al-Qur'an dan Al-Hadith.

Akhirnya, Beta dan keluarga Beta dengan amat sukacita mengucapkan Selamat Tahun Baru Ilal Hijrah 1445 kepada seluruh lapisan masyarakat di negara ini. Marilah kita sama-sama berazam untuk meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala sebagai tanda kita mensyukuri memasuki tahun baru. Semoga kita dan negara sentiasa berada dalam 'Inayah dan perlindungan Allah jua. Amin.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​

Attachments