Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-18

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA SAMBUTAN HARI BELIA KEBANGSAAN KALI KE-18​

TEMA : 'BELIA SIAGA MASA DEPAN'

 PADA HARI SELASA: 14 MUHARRAM 1445H / 01 OGOS 2023M

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem

         Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur kerana dapat sama-sama berkumpul untuk menghadiri Perhimpunan Hari Belia Kebangsaan Kali Ke-18 pada pagi ini.

'Belia dan Negara Berpisah Tiada'. Ungkapan ini dilihat sangat relevan dengan Golongan Belia yang merupakan peneraju negara.

Golongan belia turut membuktikan bahawa mereka adalah agen perubahan masa depan dan mampu untuk merealisasikan 'Aspirasi Negara' menjelang tahun 2035.

Oleh itu, sambutan Hari Belia Kebangsaan pada setiap 1 Ogos adalah merupakan pengiktirafan kepada sumbangan, pengorbanan, pencapaian dan kejayaan golongan belia dalam pembangunan negara.

Beta juga melihat, sumbangan golongan belia itu boleh merangkumi banyak bidang, seperti bidang ekonomi, digital, inovasi sosial, agri-bisnes, industri kreatif, kesukarelawan dan kemasyarakatan, bahkan juga penggubalan dasar.

Golongan Belia juga sudah dilihat mempelopori pelbagai bidang keusahawanan sama ada dari Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana. Beta difahamkan, lebih kurang 17 ribu belia adalah berdaftar di bawah bahagian Pendaftaran Syarikat dan Nama Perniagaan (ROCBN).

Perkembangan ini sangatlah memberangsangkan. Sayugia juga para belia dikehendaki lebih berani untuk tampil ke hadapan dan keluar dari comfort zone dengan mengorak langkah lebih jauh bagi menembusi dan menguasai pasaran serantau dan antarabangsa, yang banyak menawarkan peluang dan cabaran untuk memanfaatkan platform-platform yang telah disediakan oleh pihak kerajaan melalui beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman dengan beberapa buah negara untuk memudahkan kerjasama dalam bidang-bidang perniagaan dan pelaburan.

Dari aspek kepimpinan, Beta menyambut baik penglibatan aktif belia dalam dialog dan penggubalan dasar di peringkat kebangsaan mahupun serantau. Kerajaan akan terus menyediakan platform-platform yang berkesan seperti Kongres Belia dan Youth Town Hall serta  penglibatan dalam forum dasar serantau sebagai ruang untuk menyuarakan idea bernas dan 'Aspirasi Belia'.

Baru-baru ini, kita berbangga dengan kejayaan belia kita memenangi ASEAN Prize Award buat pertama kalinya. Di samping itu, atlet-atlet belia juga berjaya mengharumkan nama negara dengan meraih pingat dalam kejohanan sukan prestasi tinggi pada kejohanan Asia Tenggara (SEA Games) Ke-32 dan ASEAN Para Games Ke-12, di Kemboja.

Walau begitu, adalah diingatkan, dalam mengejar kejayaan, golongan belia hendaklah tetap mengekalkan ciri-ciri kebruneian 'Berakhlak Mulia', dengan mematuhi dan menghormati hukum-hukum ugama dan Undang-Undang.

Kita tidak perlu merasa rendah diri atau terpinggir jika tidak menyertai satu-satu jenis sukan yang tidak dibenarkan oleh Ugama atau Undang-Undang. Inilah prinsip Brunei.

Untuk akhirnya, dan bersempena dengan Hari Belia kebangsaan ini, Beta tidak lupa mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua golongan belia di negara ini atas komitmen mereka untuk sama-sama membangun dan memajukan negara.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​


Attachments