Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM Sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-35 Universiti Brunei Darussalam (UBD)

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
 
SEMPENA

MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-35

UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM (UBD)

 

PADA HARI ISNIN

4 SAFAR 1445 /

21 OGOS 2023


BERTEMPAT

DEWAN CANSELOR

UNIVERSITI BRUNEI DARUSSALAM

NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

 

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Bismillaahir Rahmaanir Raheem


         Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat sama-sama hadir di Majlis Konvokesyen Kali ke-35 Universiti Brunei Darussalam pada pagi ini.

Beta dengan ikhlas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada para graduan kerana berjaya menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Ucapan tahniah ini juga ditujukan kepada para ibu bapa, penjaga dan tenaga ahli akademik atas dorongan dan sokongan mereka di sepanjang tempoh pengajian di UBD.​

Beta yakin para graduan sudah bersedia untuk mengharungi cabaran-cabaran baharu yang bakal ditempuh berikutan suasana dunia yang semakin mencabar dengan perubahan-perubahan pantas di luar jangkaan. Sebagai contoh, teknologi kecerdasan atau artificial intelligence (A.I.) yang sangat hangat pada masa ini telah membawa perubahan besar, termasuk kepada sektor pendidikan dan perundangan yang belum pernah dialami sebelum ini.

Sebagai sebuah universiti yang paling tua di Negara Brunei Darussalam, UBD memiliki kapasiti untuk mengetuai pencetusan idea memanfaatkan kesan positif artificial intelligence terhadap masyarakat. Ini termasuklah penggunaan A.I. dalam meningkatkan kecekapan di tempat kerja.

Dalam hubungan ini, Beta juga menyarankan agar UBD dan institusi pengajian tinggi yang lain akan memikirkan dan menyediakan garis panduan untuk memanfaatkan kecekapan dan produktiviti yang dapat diperolehi dari gabungan penggunaan kecerdasan buatan dengan kecerdasan semula jadi manusia. Dengan adanya garis panduan ini nanti akan dapatlah diharapkan penggunaan yang telus, berintegriti dan beretika bagi mencegah penyalahgunaan A.I. Pada masa yang sama juga, garis panduan ini akan mengukuhkan lagi tadbir urus dan rangka kerja bagi usaha-usaha transformasi digital kebangsaan ke arah menjadikan negara ini sebagai sebuah negara Smart Nation.

Perkembangan seperti ini diperlukan untuk sentiasa tangkas dan adaptable bagi menyahut evolusi yang sentiasa mendatang.

Alam pekerjaan juga tidak terlepas dari mengalami keadaan sentiasa berubah dan sukar diramal. Maka sehubungan itu, Beta menyambut baik usaha UBD membangunkan satu portal digital pencarian pekerjaan iaitu CareerBN yang dilengkapi dengan kemampuan machine learning dan A.I.  ini dilihat mampu untuk kemudahan pengurusan profil, job notification, job matching dan akses mudah kepada majikan dan lain-lain.

Selain dari isu pencarian pekerjaan, Beta juga tidak jemu-jemu menggalakkan para graduan supaya meneroka peluang keusahawanan. Bidang ini mampu untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang-peluang baharu perniagaan dan pekerjaan. Oleh itu, Beta sukacita mengambil maklum bahawa UBD telah merangka satu Entrepreneurship Blueprint bagi memastikan ekosistem keusahawanan para pelajar UBD adalah lebih teratur dan komprehensif. Beta berharap usaha ini akan benar-benar menyuntik minda keusahawanan di kalangan para pelajar.

Dari sini akan dapat dilihat betapa sebuah universiti itu mampu untuk berperanan mencipta ataupun co-create masa depan pelajar cemerlang selaras dengan tagline UBD iaitu Futuring Together.

Sehubungan itu, Beta juga ingin mengingatkan supaya UBD menekankan kepada para graduan bahawa aktiviti mereka bukan hanya untuk kebaikan diri sendiri, malahan juga untuk berbakti kepada bangsa, ugama dan negara.

Beta juga mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga UBD, yang merangkumi Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan universiti atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Semoga segala usaha mereka itu akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Attachments