TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS HAFLUT TAKHARRUJ KE-13
UNIVERSITI ISLAM SULTAN SHARIF ALI
PADA HARI ISNIN
13 SAFAR 1445 / 30 OGOS 2023
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengizinkan kita dapat bersama-sama hadir dalam Majlis Haflut Takharruj Kali Ke-13, Universiti Islam Sultan Sharif Ali pada pagi ini.
Pada Kesempatan ini, Beta sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang menerima ijazah dan diploma pada hari ini. Ijazah dan diploma berkenaan adalah tanda kejayaan semua graduan yang telah menyempurnakan pengajian dalam bidang masing-masing di UNISSA. Tidak lupa juga, setinggi-tinggi ucapan tahniah dan penghargaan Beta kepada para ibu bapa, penjaga dan tenaga akademik atas usaha dan pengorbanan masing-masing bagi kejayaan para graduan.
Seperti dimaklumi, pada hari ini Sustainable Development Goals (SDG) atau Matlamat Pembangunan Mampan adalah agenda global yang ditekankan untuk dilaksanakan oleh setiap negara. Negara kita turut tidak ketinggalan berusaha ke arah mencapai matlamat berkenaan. Daripada 17 matlamat yang telah disenaraikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu antaranya ialah sifar kemiskinan. Kemiskinan adalah isu sosial yang boleh menjejaskan kesihatan, kesejahteraan, keselamatan dan pendidikan. Sekali pun di negara kita isu kemiskinan tidaklah sebesar di negara membangun lainnya tetapi ia tetap perlu ditangani.
Dalam Islam, pembangunan sosial masyarakat adalah menjadi tanggungjawab setiap individu dan lambang keutuhan iman. Ini jelas apabila Baginda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam menitikberatkan isu sosial sehingga Baginda menafikan kesempurnaan iman bagi sesiapa yang tidur kekenyangan sedang dia mengetahui jiran tetangganya tidur dalam kelaparan.
Beta berpendapat, UNISSA berperanan besar untuk turut mengani isu ini. UNISSA boleh berganding bahu membasmi kemiskinan di negara ini dengan melaksanakan penyelidikan-penyelidikan yang bersesuaian. Daripada hasil penyelidikan itu, akan dapat dikenalpasti cara atau jalan untuk membantu golongan terbabit melalui penjanaan pendapatan dan peningkatan taraf hidup dan seterusnya keluar dari kepompong kemiskinan.
Isu kemiskinan ini juga berkait rapat dengan isu sekuriti makanan. Makanan yang berkhasiat adalah diperlukan untuk kesihatan fizikal dan mental. Individu yang sihat akan menjadi sumber tenaga kerja yang berkualiti yang boleh menyumbang secara berkesan terhadap pembangunan negara.
Kebetulan pula dengan wujudnya fakulti pertanian di UNISSA, Beta percaya dengan kepakaran yang dimiliki akan dapat menyumbang bagi penaiktarafan eko-sistem pertanian dan peningkatan kualiti, hasil pengeluaran pertanian dan pemakanan negara. Termasuk dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk menambah sumber pendapatan dan sekaligus menyokong agenda global ke arah mencapai matlamat kelaparan sifar dalam SDG.
Dalam hubungan ini juga, Beta gembira mengetahui bahawa UNISSA adalah merupakan satu-satunya universiti tempatan yang tersenarai dalam The Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2023 dalam penilaian prestasi universiti global yang mendokong agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke arah mencapai Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG. Pencapaian ini membuktikan bahawa UNISSA terus mendapat pengiktirafan global dan berkembang seiring dengan tuntutan semasa.
Menyentuh mengenai kualiti program dan keperluannya kepada negara pula, Beta mengambil maklum bahawa program Dwi-Ijazah Syari'ah dan Undang-Undang yang sedang berjalan pada masa ini, adalah ditawarkan di bawah Fakulti Syari'ah dan Undang-Undang. Program yang seumpama ini tidak ditawarkan di institusi pengajian tinggi awam tempatan yang lain selain UNISSA sahaja. Beta melihat, ini adalah satu kelebihan bagi UNISSA.
Namun begitu, untuk mencapai kesan lebih baik dan kualiti lebih tinggi, maka Beta berpendapat, ada keperluan untuk menjadikannya DUA fakulti berasingan, satu fakulti Syari'ah dan satu lagi fakulti Undang-undang, dimana dengan hal yang demikian, dapatlah masing-masing fakulti itu akan beroperasi lebih teratur dan dapat memberikan tumpuan khusus supaya modul atau kursus di dalamnya boleh dirangka dengan lebih terarah. Sementara matlamat paling penting, kedua-dua fakulti ini, masing-masing akan dapat diharapkan untuk melahirkan lulusan-lulusan yang berkualiti yang memenuhi piawaian antarabangsa.
Adapun fakulti Undang-Undang akan menyediakan pengajian peringkat tinggi dalam bidang perundangan Syari'ah dan Sivil, iaitu satu cara, untuk menghasilkan pengamal-pengamal undang-undang yang celik dan pakar dalam dua-dua perundangan Syari'ah dan Sivil sekaligus.
Akhirnya, Beta tidak lupa merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh warga UNISSA yang terdiri daripada Ahli-Ahli Majlis, Ahli-Ahli Senat Universiti, Rektor, Pegawai-Pegawai Utama, tenaga akademik dan seluruh pegawai dan kakitangan UNISSA atas segala sumbangan tenaga, buah fikiran dan masa dalam sama-sama menjayakan Majlis Haflut Takharruj Ke-13 ini. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan membalasnya dengan sebaik-baik ganjaran di dunia dan di akhirat.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.