TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN, SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
SEMPENA
MAJLIS KONVOKESYEN KALI KE-11
UNIVERSITI TEKNOLOGI BRUNEI
(UTB)
PADA HARI KHAMIS
28 SAFAR 1445 /
14 SEPTEMBER 2023
BERTEMPAT
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA,
NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Bismillaahir Rahmaanir Raheem
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.
Beta bersyukur ke hadhrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat hadir di Majlis konvokesyen Kali Ke-11 Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada hari ini.
Di kesempatan ini, Beta terlebih dahulu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan di atas kejayaan mereka menamatkan pengajian masing-masing. Semoga kejayaan ini akan jadi pemangkin kepada kecemerlangan di masa akan datang. Ucapan tahniah juga Beta tujukan kepada para ibu bapa dan penjaga serta tenaga pengajar yang secara konsisten telah mendorong para graduan sehingga beroleh kejayaan.
UTB pada tahun ini telah mencapai usia 15 tahun. Kematangan sebagai sebuah universiti dapat dilihat melalui perkembangan yang positif, terutama dalam penerbitan kertas-kertas penyelidikan. Dari itu, adalah wajar bagi UTB untuk menggunakan sukat-sukat selain dari QS dalam menanda aras amalan terbaik. Beta mengambil maklum bahawa UTB sudah membuat persediaan untuk memasuki Times Higher Education Ranking Dunia, sebuah badan Ranking yang mementingkan penerbitan kertas-kertas penyelidikan sebagai kriteria utama.
Pada Majlis Konvokesyen UTB ke-9, Beta ada menitahkan mengenai paten untuk pengkomersialan. Ke arah ini, Beta difahamkan bahawa pihak UTB telah mengenalpasti beberapa prototypes yang akan menjalani proses penilaian terhadap hak harta intelek, yang bukan sahaja merangkumi paten tetapi rahsia perdagangan atau trade secrets. Usaha ini amatlah mustahak dalam proses ciptaan. Oleh yang demikian, Beta berharap ianya akan mewujudkan satu ekosistem inovasi yang akan memacu pertumbuhan ekonomi.
Dalam aspek lain, Beta berharap UTB akan sentiasa meningkatkan pencapaian dan meneruskan usaha-usaha, termasuk dalam memastikan program-program yang ditawarkan adalah mengikut keperluan pasaran pekerjaan, sekaligus mewujudkan jurang pencari pekerjaan. Nilai-nilai tambah seperti akreditasi dari badan-badan antarabangsa akan menarik majikan untuk mengambil graduan lepasan UTB. Sehubungan dengan ini, Beta gembira bahawa badan akreditasi antarabangsa telah mengiktiraf program-program UTB seperti Kejuruteraan awam, kejuruteraan mekanikal, dan pengkomputeran. Terkini, program-program dari sekolah Perdagangan UTB telah memperolehi pengiktirafan daripada badan EFMD atau European Foundation for Management Development. Beta ucapkan syabas di atas kejayaan ini.
Beta juga mengalu-alukan penawaran program baharu seperti Ijazah Sarjana atau Masters dalam Keselamatan Siber, melalui kerjasama UTB dengan Korea Internet and Security Agency (KISA) yang turut menawarkan biasiswa kepada pelajar-pelajar dari ASEAN.
Menyentuh pula mengenai penglibatan Industri, Beta gembira mengetahui bahawa Makmal Artificial Intelligence dan Machine Learning sudah beroperasi dalam kampus UTB. Makmal ini adalah merupakan Gift to the Nation dari Shell Deepwater and Exploration. Beta difahamkan bahawa antara objektif penubuhannya adalah untuk membangunkan algoritma pembelajaran mesin sebagai penyelesaian kepada masalah kompleks seperti penyelidikan keselamatan jalan raya, sains dan teknologi pertanian makanan, teknologi hijau, sumber air dan tenaga. Begitu juga dengan Makmal Sand Screen yang merupakan penyelidikan kolaboratif bersama universiti-universiti ternama di United Kingdom dan Australia, serta mendapat pembiayaan penuh dari Brunei Shell Petroleum. Makmal ini sudah beroperasi dan mempunyai potensi sebagai Pusat Rujukan dalam penyelidikan mengenai kualiti minyak mentah di rantau ini.
Melalui penubuhan makmal-makmal ini, Beta berharap agar tenaga akademik UTB, serta para penyelidik dan pakar tempatan akan mengambil peluang dan kesempatan untuk menggunakan kemudahan dan sumber yang disediakan demi melahirkan lebih ramai lagi anak tempatan yang berkemahiran dalam bidang masing-masing. Pada masa yang sama, adalah dihasratkan agar UTB akan terus meningkatkan hasil penerbitan yang berkualiti. Hasil kajian dan penerbitan ini diharap akan juga dapat memberi sumbangan kepada bidang-bidang yang berkaitan termasuk dalam membantu perkembangan industri minyak dan gas serta sektor prioriti yang lain.
Akhirnya, Beta merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga Universiti Teknologi Brunei yang merangkumi Ahli-ahli Majlis dan Senat, Naib Canselor, Pegawai-Pegawai Utama, ahli akademik, pegawai dan kakitangan atas segala sumbangan dan perkhidmatan mereka. Beta berdoa'a semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan memberkati segala usaha kita dan mengurniakan ganjaran yang berlipat ganda.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.