Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Titah

Titah KDYMM di Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Eire

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA
SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH MU'IZZADDIN WADDAULAH IBNI
AL-MARHUM SULTAN HAJI OMAR 'ALI SAIFUDDIEN SA'ADUL KHAIRI WADDIEN

DI MAJLIS BERSAMA RAKYAT
DAN PENDUDUK NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
YANG BERADA DI UNITED KINGDOM DAN EIRE 

PADA :
HARI KHAMIS,
15 JAMADILAKHIR 1445 / 28 DISEMBER 2023 
 
TEMPAT:
ROYAL LANCASTER HOTEL, LONDON, UNITED KINGDOM


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillaahir Rahmaanir Raheem,

Alhamdulillahi Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.

Syukur kehadhrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana atas limpah rahmat-Nya jua dapatlah Beta hadir bersama-sama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland, terutama para pelajar, pegawai Kerajaan yang bertugas di sini, dan mereka yang sedang bercuti bersama keluarga.

Kesempatan ini, sebagaimana lazimnya, membolehkan Beta untuk bertemu secara langsung serta lebih dekat dapat mengetahui perkembangan dan kemaslahatan rakyat Beta, terutama pelajar-pelajar yang sedang menuntut di sini.

Bagi pelajar-pelajar Pengajian Tinggi, yang dijangka akan memasuki alam pekerjaan, adalah penting bagi mereka untuk memiliki kemahiran abad ke-21, seperti inovatif, komunikasi efektif, kolaborasi, pemikiran kritis dan adaptabiliti, sebagai alat bagi pembentukan tenaga kerja Negara Brunei Darussalam. Oleh itu kemahiran-kemahiran seperti ini tidak cuma dipelajari melalui  buku-buku teks dan kaedah pembelajaran, akan tetapi juga diperolehi melalui pembelajaran secara informal dari persekitaran dan pengalaman harian.

Apa pun keadaan, para pelajar tetap berhadapan dengan usaha untuk membina jati diri yang luhur lagi terpuji. Oleh itu, Beta berharap para pelajar mestilah memanfaatkan peluang belajar di luar negara ini, bukan hanya untuk menimba ilmu pengetahuan semata-mata, malahan  juga untuk menjadi modal insan yang berakhlak mulia disamping memiliki idea-idea besar dan maju bagi merealisasikan Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035.

Tidak diragukan lagi bahawa negara adalah memerlukan rakyat yang sentiasa sedar mengenai masa depan, yang memiliki minda besar dan disiplin yang tinggi serta menguasai teknologi.

Teknologi sekarang sudah menjadi sebahagian dari kehidupan terpenting kita untuk memperkaya pengalaman dan sebagai alat bantu atau enabler bagi digunakan dengan bijak, sambil tidak mengabaikan kerja keras dan kecekapan diri. Oleh itu, para pelajar disarankan supaya menetapkan dengan tegas dan jelas matlamat pembelajaran melalui usaha-usaha gigih dan murni.

Jadilah individu yang berintegriti, yang mempunyai prinsip moral yang kukuh. Kerana di tengah lingkungan yang ada, kita mungkin saja berbeza budaya dan fahaman. Maka kerana itu, setiap pelajar mustahaklah ingat untuk tetap setia kepada nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang kita pegang selaku orang Brunei. Jangan terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membahayakan keselamatan dan kesejahteraan diri sendiri.

Kegiatan yang melibatkan masyarakat setempat memang berbeza dengan apa yang lazim dilaksanakan oleh masyarakat kita. Oleh itu, wajarlah para pelajar menilai risiko dengan mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan diri.

Akhirnya, Beta dengan tulus ikhlas mendoakan semua pelajar dan pegawai yang bertugas di sini akan sentiasa berada dalam kesejahteraan dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala jua.

Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


Attachments