Muslimin
yang dirahmati Allah,
BERTAQWALAH kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala
dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya.
Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah
orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa
mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia
dan juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Alhamdulillah, kita
bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana berpeluang lagi pada tahun
ini untuk bertemu bulan Ramadhan, bulan penuh keberkatan, bulan keampunan dan
penuh rahmat daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Di bulan, kita berpeluang
melipat gandakan amal ibadah sama ada amalan-amalan fardhu mahupun sunat. Alangkah
beruntungnya orang yang merebut peluang untuk mendapatkan ganjaran pahala yang
dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala di bulan Ramadhan ini dan amat rugilah
bagi orang-orang yang mensia-siakannya.
Daripada Abu Hurairah
Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang
bermaksud: Setiap amalan kebaikan yang dilakukan oleh anak Adam akan dilipat
gandakan dengan sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda. Allah
Azzawajalla berfirman yang tafsirnya: Kecuali amalan puasa. Amalan puasa
tersebut adalah untukKu, aku sendiri yang akan membalasnya. Disebabkan dia
telah meninggalkan syahwat dan makanan keranaKu. Bagi orang yang berpuasa akan
mendapatkan dua kebahagiaan iaitu ketika dia berbuka dan ketika berjumpa dengan
Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih harum disisi
Allah daripada bau kasturi. (Hadis Riwayat Imam Muslim)
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Bulan Ramadhan merupakan
waktu terbaik untuk mendidik jiwa dan rohani kita ke arah kebaikan dan
mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Pada bulan ini kita bukan
sahaja menahan diri daripada lapar dan dahaga akan tetapi ibadah puasa juga
mendidik kita untuk mengawal diri dan hawa nafsu.
Selain itu, kita juga
digalakkan untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Ini kerana melakukan
amalan sunat khususnya di bulan Ramadhan, ganjarannya adalah berlipat ganda
berbanding dengan bulan-bulan yang lain. Antara amalan-amalan sunat yang
digalakkan untuk dilakukan di sepanjang bulan Ramadhan ialah:
Pertama: Bersahur. Ulamak sepakat
mengatakan bahawa hukum makan sahur adalah sunat dan bersahur itu ada
keberkatannya. Daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wassallam bersabda: Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu
mempunyai berkat. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Selain itu, sunat
melambatkan sahur sehingga hampir waktu fajar iaitu kira-kira pada qadar
membaca lima puluh ayat Al-Qur’an sebelum terbit fajar. Antara tujuannya ialah
demi memendekkan masa untuk menahan diri daripada lapar dan dari melakukan
perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Kedua: Bersedekah, perbanyakkanlah
bersedekah kerana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam adalah orang yang
paling banyak bersedekah lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan, tidak kira kecil
ataupun besar, banyak atau sedikit adalah sangat digalakkan. Apatah lagi di
bulan Ramadhan kerana ini adalah peluang kita untuk meningkatkan usaha membantu
dan meringankan beban mereka yang berhajat dan memerlukan bantuan.
Ketiga: Sembahyang sunat
Terawih, sama-samalah kita sembahyang sunat Terawih berjemaah lebih-lebih lagi
di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat bagi sama-sama
mengimarahkan dan menghidupkan malam-malam di bulan Ramadhan.
Keempat: Membaca Al-Qur’an, bulan
Ramadhan merupakan bulan Al-Qur’an. Oleh itu, perbanyakkanlah membaca Al-Qur’an
di bulan ini seperti bertadarus sama ada di pejabat, di rumah dan di
masjid-masjid.
Kelima: Menyungkaikan: Amalan
menyungkaikan atau memberi makanan untuk orang yang berbuka puasa adalah sangat
digalakkan dan mempunyai ganjaran yang sangat istimewa. Daripada Zaid bin
Khalid Jahni Radiallahu Anhu berkata, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam
bersabda: Siapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti
orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala yang berpuasa itu
sedikitpun juga. (Hadis Riwayat Imam Termizi)
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Seperti yang sudah
ditetapkan dalam syarak, dalam bulan Ramadhan umat Islam diwajibkan membayar Zakat
Fitrah atau zakat badan. Kewajipan membayar zakat itu ada disebut dalam Al-Qur’an.
Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat 43 tafsirnya:
“Dan dirikanlah sembahyang
dan bayarlah zakat serta ruku’ lah bersama-sama orang-orang yang ruku’”
Menunaikan Zakat Fitrah
itu adalah diwajibkan ke atas setiap individu yang beragama Islam, merdeka dan mempunyai
kelebihan harta daripada nafkah dirinya dan nafkah orang-orang yang di bawah
tanggungannya pada malam dan siang hari pertama bulan Syawal.
Sesungguhnya hikmah dan
tujuan Zakat Fitrah itu ialah Pertama: Bagi membantu orang Islam yang
memerlukan, Kedua: Bagi melahirkan rasa kasih sayang sesama Islam, Ketiga:
Sumber kestabilan dan kemakmuran umat, Keempat: Sebagai tanda kesyukuran
atas nikmat Allah Subhanahu Wata'ala dan Kelima: Bagi membersihkan hati
dari sifat bakhil.
Di negara kita Brunei
Darussalam, terdapat tempat yang disediakan untuk memudahkan kita bagi membayar
zakat seperti Majlis Ugama Islam Brunei, ataupun melalui amil-amil yang telah
dilantik oleh Majlis Ugama Islam Brunei iaitu membayar Zakat Fitrah di
masjid-masjid, surau-surau, balai-balai ibadat dan juga di rumah-rumah amil
yang dilantik. Selain itu, sebagai salah satu alternatif tambahan bagi
pembayaran Zakat Fitrah di kalangan masyarakat Islam di negara ini. Kementerian
Hal Ehwal Ugama melalui Majlis Ugama Islam Brunei telah memperkenalkan
pembayaran Zakat Fitrah online.
Pembayaran Zakat Fitrah
secara online ini merujuk kepada Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei
Darussalam yang menyatakan bahawa pembayaran zakat dalam talian itu adalah
harus dan sah kerana ia memenuhi tatacara yang ditetapkan oleh syarak dalam
pembayaran zakat.
Antara faedah yang boleh
digunakan untuk membayar Zakat Fitrah secara atas talian ialah: Pertama:
Menggunakan faedah QUICKPAY, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD). Kedua:
Menggunakan Sistem E-Zakat DST. Dalam pada itu, usaha-usaha juga sedang dibuat
bagi melaratkan pembayaran Zakat Fitrah Online ini ke atas beberapa
agensi seperti Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Progresif
Cellular Sendirian Berhad (PCSB).
Allah Subhanahu Wata'ala
berfirman dalam surah Al-Hajj ayat 78 tafsirnya:
“Dia memilih kamu (untuk
membela agamanya) dan dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan
dalam urusan agama.”
Sesungguhnya ayat tersebut
jelas menggambarkan kepada kita bahawa apapun ibadah atau tanggungjawab yang
telah ditetapkan oleh syariat Islam itu bukannya bertujuan untuk menyusahkan
umat manusia bahkan ibadah ataupun tanggungjawab itu dilakukan mengikut kadar
kemampuan seseorang.
Oleh yang demikian, bagi
orang-orang yang tidak berupaya menunaikan kewajipan puasa yang telah
ditetapkan terutamanya bagi orang-orang yang ada masalah kesihatan tertentu
kerana atas arahan dan mengikut nasihat doktor bahawa sakit itu akan
menyebabkan orang berkenaan tidak berdaya untuk menunaikan ibadah puasa ataupun
puasa itu akan mendatangkan mudharat kepada diri mereka.
Maka agama Islam telah
menyediakan kelonggaran-kelonggaran kepada mereka. Perlu diketahui, bahawa
sakit dan musafir itu adalah dikira sebagai satu keuzuran yang membilehkan
seroang itu berbuka puasa. Akan tetapi orang yang sakit dan musafir itu adalah
diwajibkan untuk mengqada’ puasa sebanyak hari yang telah ditinggalkan itu.
Selain itu, orang-orang
yang benar-benar tidak berdaya untuk mengqada’ puasa seperti orang sakit yang
tidak ada harapan sembuh. Mereka tidak diwajibkan untuk mengqada’ puasa yang
ditinggalkannya itu, akan tetapi wajib bagi mereka untuk membayar fidyah
sebagai ganti puasa yang ditinggalkan. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam
surah Al-Baqarah ayat 184 tafsirnya:
“Iaitu beberapa hari yang
tertentu. Maka sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah dia
berbuka) maka wajiblah dia berpuasa sebanyak (hari yang dia berbuka) itu pada
hari-hari yang lain. Dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa
(kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Tetapi
sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih daripada yang
ditentukan itu maka adalah suatu kebaikan baginya dan walaupun demikian
berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada membayar fidyah, jika kamu
mengetahui.”
Jemaah yang dirahmati
Allah,
Bulan Ramadhan adalah
kesempatan yang terbaik bagi kita untuk memperbaiki diri dari sudut ibadah dan
mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Justeru, adalah menjadi
kerugian jika sekiranya di bulan itu kita hanya sekadar berpuasa di siang hari
tanpa melakukan amal ibadah yang lain. Itu bererti, kita telah melepaskan
peluang untuk memperbaiki diri, mempertingkatkan amalan, melatih dan mendidik
diri untuk melakukan amal ibadah seperti bersedekah dan seumpamanya.
Oleh itu, kita
manfaatkanlah bulan Ramadhan ini dengan ibadah dan menjadikannya sebagai
penggerak yang membawa kepada perubahan yang besr dalam diri kita dan juga
keluarga kita. Mudah-mudahan ibadah puasa yang kita kerjakan disepanjang bulan
Ramadhan ini diterima dan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Amin Ya Rabbal Alamin.
Surah Al-Isra’ ayat 19
tafsirnya:
“Dan sesiap yang
menghendaki (kebahagiaan hidup) akhirat dan berusaha (mengerjakan amal
kebajikan) untuk (tujuan) itu dengan usaha yang bersungguh-sungguh sedang dia
beriman maka mereka itulah yang usaha mereka dikurniakan ganjaran yang baik
(diberi pahala).”