Wahai kaum muslimin yang dirahmati
Allah,
MARILAH kita sama-sama meningkatkan
ketaqwaan dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan mengerjakan segala
perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Semoga kita semua menjadi
hamba Allah yang sentiasa mendapat taufik dan hidayah Allah Subhanahu Wata'ala
dalam menjalani kehidupan di dunia yang fana ini dan memperolehi kebahagiaan di
akhirat nanti sebagai penghuni syurga anugerah Allah Subhanahu Wataala Yang
Maha Mengasihani.
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Alhamdulilah, tidak diragukan lagi
Negara Brunei Darussalam adalah sebuah "Negara Zikir" yang
telah lama mengamalkan agama Islam yang berpandukan kepada Al-Qur'an dan
As-Sunah mengikut kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Akidah, syariat dan akhlak
ummah sentiasa dipelihara agar selari dengan prinsip-prinsip yang terkandung di
dalam gagasan tersebut.
Walaubagaimanapun, titah Kebawah Duli
Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei
Darussalam baru-baru ini dalam majlis bersama pelajar-pelajar dan rakyat Negara
Brunei Darussalam di New Zealand menyedarkan kita agar berhati-hati terhadap
pakar perosak, pakar yang tidak membantu negara sebaliknya hanya membebankan
negara. Pakar-pakar yang dimaksudkan baginda termasuklah pakar penyebar dan
pembawa ajaran-ajaran salah, pakar penulis yang menulis hal-hal yang
bertentangan dengan syariat seperti bunyinya bagus membela Al-Qur'an tetapi
menolak hadis, bercakap mengagungkan undang-undang tetapi yang tersirat atau
tersurat adalah merendah-rendahkan undang-undang Allah Subhanahu Wataala
seperti mencaci sebagai kolot dan seumpamanya.
Pada hari ini, sudah wujud pihak yang
menolak berpegang kepada hadis, kerana dengan kejahilan mereka, maka mereka
mendakwa wujudnya hadis yang bertentangan dengan Al-Quran sedangkan hal itu
sangat mustahil berlaku jika hadis itu sahih.
Mereka mencontohkan hukum rejam yang
diriwayatkan dalam hadis-hadis yang sahih seperti hadis yang diriwayatkan oleh
Imam Al-Bukhari dan Muslim, dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu berkata bahawa:
"Seseorang lelaki telah datang
menemui Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam semasa baginda berada didalam
masjid lalu beliau memanggil Rasulullah seraya berkata: "Wahai Rasulullah
sesungguhnya aku telah melakukan perbuatan zina", maka Rasulullah
berpaling daripadanya sehingga diulang pengakuannya sebanyak empat kali. Maka
apabila lelaki berkenaan telah membuat pengakuan keatas dirinya sebanyak empat
kali Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pun memanggilnya lalu bersabda:
"Adakah engkau gila?" Jawab lelaki itu: "Ya!" Maka Nabi
bersabda: "Bawalah dia dan jalankan hukuman rejam".
Bagi golongan anti hadis ini, hadis
seperti ini harus ditolak kerana ia kononnya bertentangan dengan Al-Quran yang
hanya menjatuhkan hukuman sebat seratus kali kepada orang yang berzina,
sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nur ayat 2,
tafsirnya:
"Perempuan dan laki-laki (yang
belum berkahwin) berzina maka setelah tiap seorang daripada keduanya seratus
kali sebatan..."
Hujah-hujah seumpama ini sehingga hadis
sahih di atas adalah merupakan hasil dari pemikiran-pemikiran songsang yang
didirikan atas hawa nafsu, tanpa asas-asas ilmu agama yang kukuh dan cuba
mempertikai golongan undang-undang Islam yang sudah pun menjadi teras kefahaman
sejak berzaman lagi iaitu bermula dari zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam dan para sahabat baginda lagi.
Walhal, ulama telah ijma' bahawa yang
dimaksudkan dengan penzina perempuan dan penzina lelaki yang dikenakan hukuman
sebat seratus kali itu ialah khususnya untuk penzina yang belum berkahwin.
Manakala hukuman penzina yang sudah berkahwin (muhsan) adalah rejam sampai mati
sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis-hadis sahih sebagai satu pembalasan
keatas penzina dan ia diterima oleh kesemua orang Islam kecuali golongan
khawarij.
Jika kita kembali kepada sejarah
perkembangan masyarakat Islam, golongan khawarij adalah merupakan puak pertama
dalam Islam yang mempertikai hukum-hukum Islam seperti rejam, potong tangan
yang dianggap oleh mereka tidak sesuai dengan ajaran Islam. Mereka menafikan
hadis Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam yang berkaitan dengannya. Walau
bagaimanapun, pemikiran mereka tentang kefahaman agama Islam tidak dapat
diterima oleh umat Islam ketika itu, sehingga mereka diperangi oleh sahabat
Rasulullah. Dan akhirnya golongan ini masuk dalam lipatan sejarah dan tidak
pernah bangkit lagi, kecuali saki-bakinya yang menampilkan diri secara sederhana
tanpa mewarisi kekerasan dan sifat melampau kaum khawarij.
Setelah umat Islam dikuasai oleh
penjajah barat, muncul pula sekumpulan pengkaji peradaban dan tamadun timur
yang disebut orientalisme. Mereka ini cuba mengungkap semula pemikiran hukum
golongan khawarij yang anti hadis dan anti hukum Islam terutama yang dianggap
oleh mereka sebagai hukuman yang tidak manusiawi dan undang-undang zaman purba
atau batu. Mereka ini bukan Islam dan bekerjasama dengan penjajah barat
berusaha untuk menggantikan hukum Islam yang berlaku didalam masyarakat Islam
dengan undang-undang buatan mereka sendiri.
Yang sangat disesali sekarang ini,
munculnya gerakan liberalisme dan pluralisme dalam masyarakat Islam yang
mewarisi pemikiran orientalisme, sehingga segala usaha murni umat Islam untuk
merialisasikan semula hukum Islam dalam kehidupan bernegara dewasa ini
menghadapi rintangan kerana mereka secara tidak beretika mengeluarkan pandangan
meragui atau menolak undang-undang Islam yang sudah sedia diamalkan di zaman
awal Islam lagi. Mereka seolah-olah tidak mempercayai disiplin ilmu Islam yang
sudah menetap sejak berzaman dikembang majukan oleh ulama Islam mengikut
kepakaran masing-masing.
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah telah
bersepakat bahawa hukum qisas, hudud dan taqzir yang telah dirumuskan oleh
ulama Mujahidin (fuqaha) adalah termasuk dalam ajaran asasi Islam ayng
disebut: "Almaqlum Minadini Bitharuh". Oleh yang demikian
barangsiapa yang meragui atau menolak hukum ahkam tersebut, orang seperti itu
diragui keimanan dan pegangan agamanya adalah rapuh.
Ibnu Qadamah Rahmatullah dalam kitabul
Mughni menyatakan: "Kewajipan merejam penzina muhsan (penzina yang
telah berkahwin dengan cara yang sah) baik lelaki atau perempuan adalah
pendapat seluruh para ulama dari kalangan sahabat, tabiin dan ulama-ulama
selepasnya diseluruh negeri Islam dan kami tidak mengetahui ada khilaf atau
perbezaan pendapat mengenainya kecuali daripada kaum khawarij".
Oleh itu, pandangan yang memperlekeh
hukum Islam sedemikian adalah keliru, dan sama sekali tidak berasas. Ia
bercanggah dengan kefahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mendukung kewibawaan
ulama sebagai pewaris para anbia dalam memahami dan mentafsir ayat-ayat dan
hadis-hadis hukum.
Terlebih-lebih lagi jika ada orang
yang mula membangkitkan semula pemikiran khawarij yang anti hadis, hanya mahu
berpegang kepada Al-Qur'an sahaja. Dan ayat Al-Qur'an itu pula difahami mengikut
hawa nafsunya tanpa marjuq kepada disiplin ilmu Al-Qur'an yang telah dirumus
oleh ulama tafsir. Setentunya mereka itu perlu bertaubat dan kembali kepangkal
jalan mengikut acuan kefahaman Islam yang sebenar.
Sekiranya mereka benar-benar beriltizam
dengan Al-Qur'an sebagaimana yang dilaung-laungkan, sepatutnya merekalah orang
pertama yang mempertahankan hadis daripada dipermain-mainkan, tidakkah mereka
membaca ayat 3-4 dari surah An-Najm sebagaimana firman Allah Subhanahu
Wata'ala, tafsirnya:
"Dan ia tidak memperkatakan
sesuatu yang berhubung dengan agama Islam menurut kemahuan dan pendapatnya
sendiri. Segala yang diperkatakan itu samada Al-Quran atau hadis tidak lain
hanya wahyu yang diwahyukan kepadanya".
Segala pertuturan Nabi pada hakikatnya
merupakan wahyu daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Dengan ini, jelaslah kepada
kita mereka ini bukanlah pejuang Al-Qur'an yang sebenar, berapa ramai orang
membaca Al-Qur'an sedang Al-Quran melaknatnya di hari kiamat. Sebab itulah kita
dituntut supaya membaca Al-Qur'an dan mantadabur makna yang ingin disampaikan,
firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Muhammad ayat 24, tafsirnya:
"Setelah diterangkan yang
demikian, maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan
isi Al-Quran? Atau telah ada diatas hati mereka kunci penutup yang
menghalanginya daripada menerima ajaran Al-Qur'an?"
Dan bukankah kita telah dinasihati oleh
Rasulullah dengan sabdanya yang maksudnya:
"Maka berpegang teguhlah dengan
sunahku dan sunah Khulafa Ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk, berpegang
teguhlah kepadanya". (Riwayat Al-Imam Abi Daud)
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wata'ala dalam Al-Quran
memerintahkan kita ini taat patuh kepada Allah dan RasulNYA serta Ulil Amri
dikalangan umat Islam. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-Nisa ayat
59 tafsirnya:
"Wahai orang-orang yang beriman!
Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul Allah dan kepada Ulil
Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu".
Menurut Imam Athabari ayat tersebut
adalah perintah kepada umat Islam agar berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunah
serta pemerintah yang beriman yang sentiasa berusaha untuk membangunkan agama
dan umat Islam kearah keagungan dan keunggulan ummah.
Ulama telah sepakat bahawa hadis adalah
sumber perundangan kedua selepas Al-Qur'an. Dan jika kita teliti kedudukan hadis
terhadap Al-Qur'an, maka kita akan dapati disana banyak peranan yang dimainkan
oleh hadis, antaranya:
Pertama: Mengotakan lagi
hukum yang terdapat di dalam Al-Quran seperti hadis-hadis yang menyuruh supaya
mengerjakan ibadah solat dan zakat.
Kedua: Menerangkan dengan lebih jelas
hukum-hukum didalam Al-Qur'an, sebagai contoh Al-Qur'an hanya mewajibkan
sembahyang. Manakala cara dan bagaimana mendirikan sembahyang diajar oleh
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.
Ketiga: Hadis mensabitkan
hukum yang tidak terdapat di dalam Al-Quran seperti: Hukum rejam bagi penzina
yang muhsan, hukum ini tidak terdapat dalam Al-Qur'an bahkan ianya diterangkan
secara terperinci oleh hadis.
Dari itu, tidak ada hujah lagi bagi
golongan Anti Hadis untuk mengabaikan hadis dalam persoalan agama. Jika mereka
terus berpegang dengan pandangan mereka yang terseleweng itu, maka benarlah
sebagaimana yang disebut dalam Al-Qur'an dalam surah Al-Hajj ayat 46 tafsirnya:
"Maka sesungguhnya bukanlah mata
itu yang buta tetapi mata hati yang ada dalam dada itulah yang buta"
Dan akhirnya, melalui mimbar jumaat
ini, marilah kita bersama-sama berpegang teguh kepada pegangan agama yang telah
diwariskan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam dan para sahabat baginda
yang telah dirumus oleh ulamak sebagai pegangan agama tulen yang dipanggil Ahli
Sunnah Wal Jamaah. Kita juga diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan
pemikiran segelintir umat Islam yang mempertikaikan hukum-hukum Allah yang
telah digariskan dalam Al-Qur'an dan As-Sunnah yang telah dirumus oleh ulamak
Mujahidin dan para Fuqaha' Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Surah Al-Imran ayat 104 tafsirnya:
"Dan hendaklah ada antara kamu
segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan (kebaikkan), dan menyuruh berbuat
yang makruf serta melarang daripada yang munkar. Dan mereka itulah orang-orang
yang berjaya".