Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

PERSIAPAN MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Sekarang kita berada di penghujung bulan Ramadhan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan. Kita berharap semoga amal ibadah yang kita kerjakan sepanjang bulan Ramadhan ini akan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Dengan masa yang ada ini kita rebut peluang dengan mempertingkatkan lagi amal ibadah untuk memperolehi ganjaran yang berlipat ganda yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Berakhirnya bulan Ramadhan bererti umat Islam akan menyambut kedatangan bulan Syawal dengan meraikan Hari Raya Aidilfitri, iaitu hari kemenangan bagi umat Islam setelah berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan.

Sesungguhnya agama Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa mengamalkan kesederhanaan, tidak berlebih-lebihan dan membazir dalam berbelanja, lebih-lebih lagi dalam membuat persiapan menyambut hari raya seperti keperluan-keperluan rumah, pakaian, makanan dan minuman, sambutlah Aidilfitri secara bersederhana dan berhemat, janganlah berbelanja lebih dari kemampuan yang boleh menyusahkan diri sendiri. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Israa’ ayat 26-27:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَءَاتِ ذَا الْقُرْبَىٰ حَقَّهُۥ وَالْمِسْكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا (26) إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوٰنَ الشَّيٰطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًا (27)

صدق الله العظيم

“Dan berikanlah kepada kaum kerabat haknya (kebaikan dan hubungan silaturrahim) dan begitu juga orang miskin serta orang musafir (yang terputus perbelanjaan iaitu zakat dan sedekah) dan janganlah engkau membazir membelanjakan harta pada jalan yang menyalahi syarak itu ialah saudara-saudara syaitan, dan syaitan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya”

Muslimin yang dirahmati Allah,

Adapun tujuan utama Aidilfitri adalah untuk meraikan kejayaan hamba-hamba Allah yang telahpun melaksanakan ibadah puasa dengan penuh keredhaan, keimanan dan ketakwaan, oleh itu sambutan yang dilakukan biarlah mengikut landasan agama Islam sebagaimana yang digariskan oleh syarak antaranya adalah:

Pertama: Pada malam hari raya pertama kita disunatkan untuk menghidupkan malam tersebut dengan laungan takbir, bacaan Al-Qur’an, berzikir, berdoa dan sebagainya.

Bukan meraikan malam tersebut dengan perkara-perkara yang membahayakan dan memudaratkan apatah lagi perkara yan menganggu ketenteraman orang lain dan elakkanlah membuat persiapan disaat-saat akhir sampai larut malam sehingga menyebabkan ada yang tidak sempat menunaikan sembahyang fardhu Subuh dan sembahyang Hari Raya Aidilfitri

Kedua: Pada pagi hari raya pula, hendaklah membersihkan diri dengan mandi sunat Aidilfitri, memakai wangi-wangian yang harum, memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. Sebelum ke masjid untuk bersembahyang hari raya, kita disunatkan juga memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil, inilah yang diamalkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam sebelum ke masjid untuk bersembahyang hari raya yang patut kita contohi dan amalkan. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bermaksud: Daripada Anas bin Malik berkata: Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam tidak keluar pada waktu pagi hari raya sehingga baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar dan baginda memakannya dalam bilangan ganjil.

Ketiga: Menunaikan sembahyang sunat hari raya adalah perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut Aidifitri daripada perkara-perkara sunat yang lain, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bermaksud: Daripada Al-Bara’ie ia berkata: Aku mendengar Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah sembahyang.

Keempat: Kita disunatkan mendoakan dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain seperti mengucapkan "تَقَبَّلَ اللُّه مِنَّا وَمِنكُم" Maksudnya: Semoga Allah menerima amal ibadah kami dan menerima amal ibadah kamu.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Apabila hampir tiba Hari Raya Aidilfitri, kemeriahan menyambut awal bulan Syawal dan pelbagai persiapan untuknya semakin hangat dirasai. Walau bagaimanapun terdapat satu perkara yang sangat mustahak yang wajib kita tunaikan terlebih dahulu adalah membayar zakat fitrah untuk diri sendiri dan tanggungan. Ketahuilah bahawa waktu bagi menunaikan tuntutan zakat fitrah adalah bermula dari awal Ramadhan lagi sehingga sebelum imam mendirikan sembahyang sunat Aidilfitri, namun perlu diingat janganlah sampai hanya kerana mengejar fadhilat waktu sunat membayar zakat fitrah menyebabkan kita terlepas atau tidak sempat membayar kewajipan zakat fitrah itu. Ketahuilah akibat dari tidak membayar zakat, seseorang itu pastinya mendapat dosa besar, kerana ia salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan.

Muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang ini dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata'ala iaitu melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang oleh agama. Dan janganlah cemari sambutan Hari Raya Aidilfitri itu dengan perkara dosa dan maksiat. Mudah-mudahan ibadah puasa dan segala amal ibadah yang kita lakukan diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan kita semua mendapat berkat, rahmat dan keampunan daripada Allah Subhanahu Wata'ala. Dan sama-samalah kita berdoa semoga diberi peluang untuk bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Amin Ya Rabbal Alamin.

Surah Ali-Imran ayat 133:

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمٰوٰتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ

صدق الله العظيم

“Dan bersegeralah kamu mengerjakan amal kebajikan untuk membawa kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan ke syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa”

Attachments