Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

JAUHI SIFAT HASAD DENGKI

​Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Akhlak mulia merupakan kunci kepada segala kebaikan, malah ia adalah penting dalam membina dan membentuk kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara. Justeru, akhlak yang mulia hendaklah diterapkan di dalam diri setiap individu pada setiap masa dan keadaan. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam adalah contoh tauladan dan ikutan yang terbaik bagi seluruh umat manusia.

Di dalam Al-Qur’an, Allah Subhanahu Wata'ala ada memuji tentang akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dan kehebatan akhlak baginda itu tiada tandingannya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Al-Qalam ayat 4 tafsirnya:

“Dan sungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang sangat mulia.”

Firman Allah Subhanahu Wata'ala tersebut menekankan betapa luhur dan mulianya keperibadian Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam. Oleh itu, sebagai umat Islam kita hendaklah mengikuti dan mencontohi akhlak dan sifat-sifat baginda. Antara akhlak baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang patut kita contohi, adalah akhlak baginda Sallallahu Alaihi Wassallam tidak pernah bersifat hasad dengki terhadap sesama insan lain.

Berkata Imam Ghazali Rahmatullah di dalam kitabnya Hidayatus Salikin: “Hasad dengki itu ialah sebenar-benar kejahatan manusia yang dicela oleh syarak. Ketahuilah, hasad itu adalah haram dan mengenainya ialah engkau suka hilang nikmat daripada orang yang engkau dengki atau turun bala kepada orang itu. Sifat hasad itu mendatangkan kemurkaan Allah. Ia boleh membinasakan diri seseorang dan amalannya.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Hasad dengki adalah salah satu daripada penyakit rohani yang ada dalam diri seseorang insan. Penyakit ini boleh membahayakan diri dan mendatangkan kesan yang buruk dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat mahupun bernegara.

Hasad dengki boleh diertikan sebagai suatu sikap tidak senang hati atas nikmat, kesenangan ataupun kelebihan yang ada pada orang lain. Sesungguhnya perasaan hasad dengki tidak pernah mengenal pertalian darah atau keluarga, tidak pernah mengenal sahabat dan rakan sekerja ini kerana hubungan keluarga yang rapat boleh menjadi renggang, sahabat yang akrab boleh menjadi musuh, rakan sekerja menjadi tidak sehaluan dan semua ini adalah disebabkan oleh perasaan hasad dengki.

Terdapat banyak sebab mengapa orang itu mempunyai perasaan hasad dengki, antaranya permusuhan, dendam, berasa khuatir tujuan atau hasrat tertentu tidak tercapai dan seumpamanya.

Namun terdapat juga hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang memberi pengecualian dalam sifat hasad dengki ini. Daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Perasaan hasad dan dengki itu dilarang kecuali pada dua perkara: Dengki terhadap seseorang yang Allah kurniakan kepadanya harta dan dia membelanjakannya pada jalan kebenaran, serta seseorang yang dikurniakan hikmah lalu dia mengamalkan dan mengajarkannya kepada orang lain. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Adapun untuk menjauh dan menghindarkan diri daripada sifat hasad dengki itu adalah sangat susah dan berat untuk dilaksanakan. Justeru, orang-orang yang berjaya menghindari sifat tersebut akan dimuliakan dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Di dalam sebuah hadis terdapat satu kisah yang boleh dijadikan sebagai satu iktibar dan pengajaran prihal seorang lelaki yang menjadi penghuni syurga, kerana di dalam dirinya tidak ada sekelumit pun sifat hasad dengki.

Daripada Anas bin Malik Radiallahu Anhu berkata: Pada suatu hari kami duduk disisi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam dan baginda bersabda yang maksudnya: “Akan muncul kepada kamu sekarang dari celah bukit ini, seorang lelaki dari ahli syurga (penduduk syurga),” Anas meneruskan riwayatnya. “Lalu muncul seorang lelaki dari golongan anasir, janggutnya menitis air (dari wudhunya). Ia memegang kedua seliparnya di tangan kirinya. Lalu ia memberi salam. Ketika keesokkan harinya Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda seperti itu lagi. Pada masa yang sama lelaki tersebut muncul pula. Dan pada hari ketiga, Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda seperti itu juga dan lelaki tadi muncul lagi.

Maka ketika Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bangun berdiri, lalu baginda diikuti oleh Abdullah bin Amru bin As. Kemudian Abdullah berkata kepada lelaki tersebut: “Sesungguhnya aku bertengkar dengan ayahku, sehingga aku bersumpah bahawa aku tidak akan masuk ke tempat ayahku selama tiga malam. Kerana itu bersediakan engkau membawaku ke rumahmu selama tiga malam? Lelaki itu pun menjawab: “Ya, bersedia.”

Kemudian Abdullah pun bermalam di rumah lelaki tersebut selama tiga malam. Maka ia tidak melihat lelaki tersebut bangun malam untuk mengerjakan solat malam, melainkan ia hanya berzikir kepada Allah ketika berbalik-balik di atas katilnya. Sama sekali ia tidak bangun kecuali untuk menunaikan solat Subuh. Abdullah meneruskan riwayatnya: Selain aku tidak mendengar ia berkata kecuali ucapan yang baik.

Dan tatkala telah berlalu tiga hari dan hampir-hampir aku meremehkan amalannya, lalu aku berkata kepadanya: Sebenarnya antara aku dengan ayahku tidak ada apa-apa, tetapi aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda dalam tiga majlis: Akan tiba pada mu seorang ahli syurga, tiba-tiba engkau yang datang, kerana itu aku ingin mengetahui amalanmu, maka aku berusaha bermalam ditempatmu untuk meniru amalanmu tetapi ternyata bagiku engkau tidak ada kelebihan amal, maka apa yang kiranya yang menyebabkan engkau sehingga Nabi Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda sedemikian itu?

Lalu lelaki itu menjawab: “Tidak ada (amalan yang lain) kecuali seperti apa yang engkau lihat.” Maka ketika aku berpaling ke belakang, lelaki itu memanggilku dan berkata: “Tidak ada yang lain kecuali apa yang engkau lihat. Hanya sahaja aku tidak menipu dan berdengki hati terhadap kaum muslimin di atas kebaikan (nikmat) yang diberikan oleh Allah kepadanya.” Kemudian Abdullah bin Amru bin As berkata: Lalu aku katakan kepadanya: Itulah yang telah (mengangkat darjat) engkau dan itulah yang kami tidak sanggup (melakukan). (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Jemaah yang dirahmati Allah,

Hasad dengki adalah antara penyakit hati yang paling dihasut dan sangat sukar diubah. Akan tetapi terdapat cara untuk mencegah dan mengubatinya. Ia perlu kepada beberapa cara dan pendekatan, antaranya:

Pertama: Kita hendaklah sentiasa mengawasi diri dan menyedari bahawa penyakit hasad dengki boleh merosakkan dan membinasakan diri sendiri.

Kedua: Kita hendaklah sentiasa mensyukuri nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Ketiga: Jika kita melihat orang lain memperolehi nikmat atau kelebihan, kita hendaklah mengakui bahawa mereka memperolehinya dengan hasil usaha dan kurnia Allah Subhanahu Wata'ala.

Keempat: Hendaklah kita rajin bekerja, berikhtiar untuk mencari rezeki dan kurnia Allah Subhanahu Wata'ala.

Kelima: Janganlah kita sentiasa membanding-bandingkan diri kita dengan orang yang lebih tinggi keadaan atau tarafnya daripada kita.

Keenam: Sentiasalah kita berdoa memohon perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dari sifat hasad dengki.

Ketujuh: Jika kita masih juga mempunyai sifat hasad dengki dalam diri, maka kita hendaklah segera beristigfar dan bertaubat atau memohon ampun kepada Allah Subhanahu Wata'ala.

Oleh yang demikian, saudara-saudara Islam yang dikasihi. Ingatlah dan jauhilah diri kita daripada perasaan hasad dengki yang dilarang dalam agama kita, jangan sampai ia bersarang dalam hati. Ini kerana ia adalah antara sifat yang dibenci oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa semoga kita hidup dalam keadaan yang harmoni dan berkasih sayang, mudah-mudahan dengan yang demikian, ia akan melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu. Aamiin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Falaq ayat 1-5 tafsirnya:

Katakanlah (wahai Nabi Muhammad): “Aku berlindung pada Tuhan yang menguasai Subuh”. “Daripada kejahatan makhluk-makhluk yang Dia ciptakan.” “Dan daripada kejahatan malam apabila telah gelap gelita.” “Dan daripada kejahatan tukang-tukang sihir yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan.” “Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila dia dengki.”

Attachments