Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

KEPENTINGAN PERSIAPAN KEWANGAN UNTUK HARI TUA

​Muslimin yang dirahmati Allah,

BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Dalam menjalani kehidupan di dunia ini, Allah Subhanahu Wata'ala telah mengurniakan nikmat yang tidak terkira banyaknya kepada manusia, antara nikmat-nikmat itu ialah nikmat kebahagiaan, nikmat kesihatan, nikmat kemakmuran, nikmat kekayaan, nikmat rezeki dan sebagainya. Maka sewajarnyalah kita sebagai hambaNya, mensyukuri segala nikmat rezeki yang diberikan itu dan memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 tafsirnya:

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu (dengan sejelas-jelasnya): “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur (terhadap segala nikmatKu) tentu aku akan menambah nikmat itu kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur (terhadap nikmat itu) maka sesungguhnya azabKu sangat keras.”

Jemaah yang dirahmati Allah,

Selaku manusia kita tidak akan dapat lari dari mengurus dan menghadapi masalah kewangan. Oleh itu, pengurusan kewangan yang teratur dan berperancangan akan membantu mensejahterakan kehidupan kita pada masa hadapan. Kita perlu membuat inisiatif baru bagi mengubah sikap kita dalam pengurusan kewangan. Sebagai permulaan, langkah-langkah berikut boleh kita lakukan:

Pertama: Menyemak dan menyusun semula kewangan peribadi. Muhasabah diri dalam perbelanjaan dan gaya hidup kita. Jika ia melebihi dari kemampuan kita, maka kita perlu mengurangkan perbelanjaan yang tidak penting dan menyimpan wang untuk rancangan masa depan.

Kedua: Elakkan dari sifat berhutang, lebih-lebih lagi berhutang bagi perkara-perkara yang tidak berfaedah dan tidak penting.

Ketiga: Amalkan budaya menabung (menyimpan) kerana dengan menabung kita dapat membuat persediaan jika berlaku hal-hal kecemasan.

Amalan menabung adalah tindakan yang bijak untuk merancang perbelanjaan. Sesungguhnya banyak kelebihan yang boleh kita dapat dari amalan menabung. Antaranya ekonomi seseorang itu akan lebih teratur dan terancang dan dapat membantu kita membuat persediaan bagi menghadapi keadaan-keadaan yang tertentu di masa akan datang seperti keperluan bagi perbelanjaan pendidikan anak-anak dan sebagainya. Selain itu amalan menabung juga dapat membantu kita ketika menghadapi situasi kecemasan seperti perbelanjaan bagi masalah kesihatan ataupun bagi keperluan yang mendesak. Wang yang disimpan juga boleh digunakan sebagai modal pelaburan atau perniagaan di masa hadapan seperti bagi keperluan membeli rumah, tanah dan sebagainya. Bahkan wang itu juga boleh digunakan sebagai jaminan di hari tua atau apabila bersara kelak bagi menyara perbelanjaan kehidupan. Selain itu dengan adanya wang simpanan juga membolehkan kita menunaikan ibadah kepada Allah Subhanahu Wata'ala seperti memberi sumbangan wakaf ataupun sedekah, lebih-lebih lagi untuk menyempurnakan rukun Islam yang lima iaitu menunaikan fardhu haji.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam yang maksudnya:

Daripada Kaab bin Malik Radiallahu Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: Simpanlah sebahagian dari harta kamu kerana itu jauh lebih baik bagimu.

Perlu diketahui, menabung sebahagian daripada hasil pendapatan dan tidak bersikap boros di dalam membelanjakannya adalah sangat-sangat dituntut di dalam agama kita. Di dalam Al-Qur’an Allah Subhanahu Wata'ala mengingatkan supaya kita sentiasa seimbang di dalam perbelanjaan, iaitu antara tidak tergolong di kalangan orang yang bersifat bakhil dan tidak pula tergolong di dalam kemiskinan kerana bersifat boros dalam berbelanja. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman di dalam Al-Qur’an surah Al-Israa’ ayat 29 tafsirnya:

Dan janganlah engkau jadikan tanganmu terbelenggu di lehermu (bakhil) dan janganlah (pula) engkau menghulurkannya sehabis-habisnya (boros) kerana akibatnya engkau akan jadi tercela dan menyesal.

Oleh itu, ciri-ciri orang yang bersederhana dan tidak melampaui batas di dalam perbelanjaan digambarkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala di dalam firmanNya dalam surah Al-Furqan ayat 67 tafsirnya:

Dan mereka yang apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak juga bakhil dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka itu adalah sederhana antara kedua-duanya.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Dalam hal menabung ini, di negara kita, pihak kerajaan telah menubuhkan Tabung Amanah Pekerja (TAP) untuk membantu ahlinya menyimpan sebahagian daripada pendapatan bagi tujuan untuk memenuhi keperluan rakyat dan penduduk negara ini dengan mengadakan simpanan mandatori yang bertujuan untuk memberikan kemudahan perlindungan sosial, bagi menampung keperluan hari tua rakyat dan penduduk negara ini setelah bersara sama ada mereka berkhidmat di sektor awam ataupun sektor swasta.

Di dalam skim ini, kita dikehendaki untuk menyimpan sejumlah dari gaji kita dan majikan juga akan menambah yang sama di dalam simpanan ini melalui kadar yang telah ditetapkan oleh undang-undang TAP.

Manakala yang terkini kita diperkenalkan pula dengan Skim Persaraan Kebangsaan (SPK). InsyaAllah, dengan SPK, dihasratkan untuk menangani cabaran-cabaran utama persaraan, dan untuk memberikan persaraan yang mampan serta insklusif untuk setiap warga kerja di Negara Brunei Darussalam.

Oleh yang demikian, kita ambillah peluang yang disediakan oleh kerajaan ini untuk kelangsungan hidup kita di hari mendatang. Bagi sesiapa yang merasa belum jelas tentang Skim Persaraan Kebangsaan ini, terutama bagi ahli yang berumur 50 hingga 60 tahun, bolehlah membuat temu janji bagi sesi konsultasi bersama Tabung Amanah Pekerja bagi mengetahui lebih lanjut mengenai dengan faedah SPK yang diterima semasa bersara nanti.

Jemaah yang dirahmati Allah,

Sebagai umat Islam kita hendaklah membelanjakan rezeki yang diperolehi dengan bijak mengikut lunas-lunas Islam termasuk dengan mengamalkan sikap suka menabung, mudah-mudahan dengan cara demikian kita akan dapat mengukuhkan lagi ekonomi keluarga, masyarakat dan negara, demi menjamin masa hadapan yang baik. Apa yang penting juga ialah, keseimbangan dalam berbelanja dengan menyimpan sebahagian daripada pendapatan dan tidak berlebih-lebihan dalam membelanjakannya adalah sifat yang mulia yang dituntut di dalam Islam. Sama-samalah kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wata'ala akan mengurniakan rezeki yang melimpah-ruah dan nikmat yang berkekalan agar kita dapat hidup dengan bahkan dan selamat di dunia dan di akhirat. Aamiin Ya Rabbal Alamin.

Surah Al-Maidah ayat 114 tafsirnya:

...Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kepada kami suatu hidangan dari langit (yang pada hari turunnya) akan menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi orang yang ada bersama kami dan yang akan datang kemudian dan menjadi tanda kekuasaanmu. Dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkaulah sebaik-baik pemberi rezeki.

Attachments