Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Khutbah

MENJAGA DAN MEMPERTAHANKAN KEAMANAN NEGARA TUGAS MULIA

​Muslimin yang dirahmati Allah,
BERTAQWALAH kita kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala dengan sebenar-benar taqwa iaitu dengan meningkatkan keimanan kepadanya. Sesungguhnya orang yang paling mulia disisi Allah Subhanahu Wata'ala itu ialah orang yang paling bertaqwa. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala, beroleh kejayaan dan keselamatan di dunia dan juga di akhirat.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, kita bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengurniakan keamanan dan kemakmuran kepada negara kita. Keamanan adalah nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala amat berharga. Dengan adanya keamanan, rakyat dapat hidup dengan selesa, tidak ada huru cara dan kekacauan, manakala kemajuan pula dapat dijana dan keselamatan dapat dirasa. Justeru, keamanan itu sangat penting dan berharga bagi sesebuah negara.
Sesungguhnya anugerah keamanan dan keharmonian negara yang kita nikmati ini perlulah disyukuri dan dipertahankan oleh seluruh rakyat dan penduduk. Bersyukur atas segala nikmat kurniaan Allah Subhanahu Wata'ala adalah dengan memenuhi dan melaksanakan semua perintah Allah Subhanahu Wata'ala serta meninggalkan segala laranganNya. Ini sesuai dengan firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah An-'Anaam ayat 82 tafsirnya:
Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur adukan iman mereka dengan kezaliman (syurga), mereka itulah orang-orang yang mendapat keamanan (daripada bencana) dan mereka mendapat hidayah.
Jemaah yang dirahmati Allah,
Disamping mematuhi perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan menjauhi laranganNya, kita juga hendaklah mentaati perlembagaan, undang-undang dan peraturan negara kerana perkara ini juga menyumbang kepada keamanan negara.
Oleh yang demikian, janganlah kita menjadi orang yang tidak bersyukur dengan nikmat keamanan yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Adapun tanda orang yang tidak bersyukur ilah meninggalkan perintah Allah Subhanahu Wata'ala dalam kehidupan seharian.
Manakala tegahan syarak pula tidak segan-silu dilakukan seperti meninggalkan sembahyang, tidak berpuasa, mendedahkan aurat, pergaulan bebas, zina dan bermacam-macam lagi. Sesungguhnya mengabaikan tuntutan agama akan menimbulkan pelbagai ancaman kepada keselamatan negara. Hal ini diperingatkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-'Araf ayat 97-98 tafsirnya:
Maka adakah penduduk sesebuah negeri itu merasa aman daripada datangnya seksa Kami ke atas mereka pada malam hari semasa mereka sedang tidur?. Atau adakah penduduk sesebuah negeri itu merasa aman daripada seksa Kami ke atas mereka pada waktu Subuh (matahari naik) semasa mereka sedang leka bermain?
Ayat-ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah Subhanahu Wata'ala akan mendatangkan kesusahan dan bencana kepada sesebuah negara yang penduduknya mengingkari dan mengabaikan perintah beragama. Perlu diingat, bahawa runtuhnya tamadun umat-umat terdahulu seperti kaum 'Ad, Tsamud dan Firaun adalah kerana kekufuran dan kefasikan mereka.
Oleh kerana pentingnya keamanan dalam kehidupan, maka Nabi Ibrahim Alaihi Salam pernah berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wata'ala ketika pembukaan kota Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci. Baginda berdoa agar bumi mekah dikurniakan dengan keamanan dan kemakmuran, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Baqarah ayat 126 tafsirnya:
Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa: “Ya Tuhanku! Jadikanlah negeri Mekah ini negeri yang aman damai dan kurniakanlah rezeki daripada berbagai-bagai jenis buah kepada penduduknya iaitu bagi siapa antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat," Allah berfirman: “(permohonanmu Aku terima) tetapi sesiapa yang ingkar maka Aku akan beri juga dia menikmati rezeki itu bagi sementara waktu (di dunia) kemudian Aku memaksanya (dengan menyeretnya) ke azab Neraka. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali."
Jemaah yang dirahmati Allah,
Adapun di antara pihak yang bertanggungjawab menjaga dan mempertahankan keamanan negara ini ialah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang meraikan ulang tahun yang ke 62 pada tanggal 31 Mei tahun ini. Sebagai rakyat dan penduduk yang betanggungjawab, sewajarnya kita sama-sama menghargai dan tidak melupakan jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh seluruh Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bagi mempastikan keselamatan dan kedaulatan bumi Darussalam ini sentiasa terjaga dan terpelihara.
Sesungguhnya tugas tentera dan mempertahankan negara adalah amat mulia. Ia bukanlah satu tugas yang mudah akan tetapi banyak risiko dan berat tanggungjawabnya. Oleh yang demikian, setiap anggota tentera yang mengalas dan menjalankan tugasnya dengan penuh amanah dan penuh dedikasi, sangatlah kita sanjung tinggi dan hormati.
Apa yang lebih penting juga, tugas yang mereka pikul amat besar ganjarannya apatah lagi jika disertai dengan niat yang ikhlas kerana Allah Subhanahu Wata'ala. Daripada Umar bin Khatab Radiallahu Anhu berkata, aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda yang maksudnya: Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat. Sesungguhnya balasan bagi setiap orang itu mengikut apa yang diniatkannya. (Hadis Riwayat Imam Bukhari)
Justeru, marilah kita dengan penuh rasa rendah diri dan tawaduk memanjatkan doa kehadrat ilahi agar seluruh anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan sentiasa terpelihara dari sebarang keburukan dan bencana. Semoga anggota angkatan bersenjata yang sanggup berkorban demi mencari keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala termasuk di dalam golongan mereka yang mendapat pujian dan kasih sayang Allah Subhanahu Wata'ala di dalam surah At-Taubah ayat 111 tafsirnya:
“Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang beriman, jiwa dan harta benda mereka dengan mengurniakan bagi mereka syurga (disebabkan) mereka berperang pada jalan Allah lalu mereka membunuh dan terbunuh..."
Akhirnya, sama-samalah kita berdoa agar seluruh anggota Angkatan Diraja Bersenjata Diraja Brunei serta kita semua akan sentiasa berusaha mempertingkatkan keimanan adn sentiasa bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala serta berkhidmat dengan penuh ikhlas dan amanah. Mudah-mudahan agama, bangsa dan negara kita akan sentiasa terpelihara serta mendapat perlidungan Allah Subhanahu Wata'ala. Amiin Ya Rabbal Alamin.
Surah An-Anfal ayat 45 tafsirnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berperang dengan pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan ingatlah Allah banyak-banyak supaya kamu beroleh kemenangan."
 ​

Attachments