Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PEMBERIAN HADIAH KEPADA ANAK-ANAK DAMIT YANG LAHIR PADA 01 MUHARRAM SEMPENA SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1445

20 July 2023

MAJLIS PEMBERIAN HADIAH KEPADA ANAK-ANAK DAMIT YANG LAHIR PADA 01 MUHARRAM SEMPENA SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1445

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Bandar Seri Begawan, Khamis, 02 Muharram 1445H bersamaan 20hb. Julai, 2023M–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Kemajuan Syiar Islam pagi tadi mengungkayahkan Majlis Pemberian Hadiah Kepada Anak-Anak Damit yang Lahir pada 01 Muharram 1445 Hijrah bersempena Sambutan Ilal Hijrah 1445 bertempat di Bilik Kuliah 2, Tingkat 2, Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku Tetamu-Tetamu Khas di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan dan Datin; Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Datin; Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof, Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan, selaku Timbalan Pengerusi Badan Penasihat Syariah, Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn Bhd dan Datin serta Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Kesihatan.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin; dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan dan Datin menyempurnakan pemberian hadiah untuk anak-anak damit yang lahir pada 01 Muharram 1445 Hijrah berupa wang tunai bernilai BND$100.00 dan barangan keperluan anak damit serta Buku Agama.

Manakala Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Datin menyempurnakan penyampaian sumbangan berupa Akaun Si Manja bernilai BND$200.00 dan 'Hamper' mengandungi barangan keperluan anak damit bernilai BND$ 60.00.

Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof, Penolong Mufti (Buhuth) Jabatan Mufti Kerajaan, selaku Timbalan Pengerusi Badan Penasihat Syariah Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd. dan Datin juga menyempurnakan pemberian hadiah berupa Baucher bernilai BND$250.00 bagi penyertaan Takaful Nur Savings dan 'Gym Mat'.

Pada tahun ini seramai 18 orang anak damit telah dilahirkan pada 01 Muharram sempena Sambutan Ilal Hijrah 1445, iaitu anak yang lahir bermula masuk waktu Maghrib 01 Muharram hingga berakhirnya waktu Asar.

Di Daerah Brunei-Muara, seramai 14 orang kelahiran anak damit dicatatkan, iaitu 8 orang anak damit lelaki dan 6 orang anak damit perempuan.

Di Daerah Belait pula, 4 orang anak damit dilahirkan iaitu 2 orang anak damit lelaki dan 2 orang anak damit perempuan

Manakala di Daerah Tembu. rong tiada kelahiran dicatatkan.

Kelahiran anak-anak damit pada Sambutan Ilal Hijrah ini diraikan dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa ta'ala dalam memperingati kedatangan hari yang baik dan bersejarah dalam Islam. Ianya juga untuk menjadikan taqwim hijrah terus dimanfaatkan penggunaannya dari masa ke semasa.









Foto: i-Ready BPAAM