Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PERSEMBAHAN BERCORAK KEUGAMAAN SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG KE-77 TAHUN BAGI TAHUN 2023M

21 July 2023

PERSEMBAHAN BERCORAK KEUGAMAAN SEMPENA SAMBUTAN PERAYAAN ULANG TAHUN HARI KEPUTERAAN KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM YANG KE-77 TAHUN BAGI TAHUN 2023M

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 4 Muharram 1445H bersamaan 21 Julai 2023M-Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam untuk sentiasa mentaati dan mensyukuri kepimpinan Raja kerana perbuatan sedemikian itu merupakan sebahagian daripada ciri orang-orang yang beriman dan bertakwa, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam surah An-Nisa ayat 59, tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu".  Demikian antara intipati forum yang bertajuk “Mentaati dan Mensyukuri Kepimpinan Raja" yang merupakan salah satu pengisian dalam Persembahan Bercorak Keugamaan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-77 pada tahun ini yang disertai oleh Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam sama-sama memeriahkan lagi sambutan berkenaan bertempat di Pentas Perayaan di Kawasan Lapang berhadapan Muzium Alat-Alat Kebesaran Diraja, Bandar Seri Begawan.

Forum juga membincangkan serba sedikit mengenai hukum mentaati Raja.  Di samping itu, Forum turut mengungkapkan beberapa cara untuk menunjukkan rasa syukur serta cinta dan taat kepada kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan bagaimana kita sebagai rakyat dan penduduk memikul peranan dan tanggungjawab dalam merealisasikan hasrat baginda untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.  Ahli-ahli panel forum terdiri daripada Yang Mulia Ustazah Siti Juhaidah binti Haji Bujang dan Yang Mulia Ustaz Awang Isham bin Haji Ismail, Pegawai Ugama dari Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Persembahan bercorak keugamaan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti tahunan Pusat Da'wah Islamiah yang antara lain bertujuan untuk memberikan peluang kepada para pegawai dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan-jabatan di bawahnya serta Persatuan Muallaf dalam sama-sama menzahirkan rasa kasih sayang dan syukur atas kepimpinan yang adil lagi bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan isteri.  Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pengarah Pusat Da'wah Islamiah.

Acara pada malam itu dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah, dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.  Antara pengisian majlis ialah Persembahan Tausyeh daripada pelajar-pelajar penempatan kerja di Pusat Da'wah Islamiah dan juga Persembahan Nasyid daripada gabungan Muallaf dari Rumah Kegiatan Ugama Kampung Bebuloh, Persatuan Nur Islam, para pelajar Kelas Bimbingan Muallaf Daerah Brunei dan Muara, serta para pelajar penempatan kerja di Pusat Da'wah Islamiah. Acara pada malam tersebut juga turut dimeriahkan dengan acara kuiz spontan untuk orang awam.



​​

 

 

 

 

 

​Foto: PDI