Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-95

22 July 2023

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-95

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Negara Brunei Darussalam, Hari Sabtu, 05 Muharram 1445H bersamaan 22 Julai 2023M-“Selaku hamba Allah Subhanahu wa Ta'ala yang hidup di muka bumi ini, janganlah kita lupa memanjatkan kesyukuran dalam apa jua keadaan, sama ada musibah yang berupa ujian dalam bentuk kesenangan atau kesusahan dengan melazimkan muhasabah diri dan taubat bagi menginsafi setiap perlakuan yang kita buat." 

Perkara tersebut adalah antara yang telah disampaikan di dalam Tazkirah bertajuk 'Bersyukur di atas Nikmat Allah Subhanahu wa Ta'ala' oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Khairul Azhar bin Haji Idris, Penolong Pensyarah, Fakulti Pendidikan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dari Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas bagi menyemarakkan Malam Munajat kali ke-95 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Acara Munajat malam tadi mengundang tetamu khas, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.

Mengimarahkan lagi acara Munajat malam tadi ialah para pegawai dan tenaga pengajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Kampong Mentiri serta, Sekolah Ugama Tentera Laut Diraja Brunei, Muara.  Diserikan lagi oleh ahli-ahli Pertubuhan WARGAMAS dari Ibu Pejabat Pertubuhan WARGAMAS; Ahli Jawatankuasa Takmir dan jemaah dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar dan, Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas.  Turut meramai-ramaikan ialah para jemaah daripada 91 buah masjid termasuk surau serta balai ibadat seluruh Negara dan juga warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan-Jabatan di bawahnya bersama keluarga dari kediaman masing-masing.

Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diteruskan dengan bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ashizal bin Zainal Abidin, Pegawai Pelajaran, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri 'Azemah Ni'matul Bolkiah, Kampong Mentiri dari Surau Sekolah Ugama Tentera Laut Diraja Brunei, Muara.

Diikuti Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof, Timbalan Pengetua Pengajian Diploma Qiraat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Sejurus selesai Tazkirah, bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Begawan Mudim Haji Ahmad Kasra bin Haji Ibrahim bersama ahli-ahli Pertubuhan WARGAMAS dari Ibu Pejabat Pertubuhan WARGAMAS.

Bagi memberkati acara Munajat, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Haji Shafrillah bin Haji Ahmad, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

Malam Munajat mengajak orang ramai melipatgandakan amalan kerohanian dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran, berdoa, berzikir dan beristighfar, semata-mata untuk memohon keampunan, perlindungan, rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Di samping itu, berdoa agar rakyat dan Negara Brunei Darussalam sentiasa terpelihara dari sebarang musibah yang tidak diingini dan berjaya membendung penularan penyakit merbahaya termasuk COVID19.

Orang ramai adalah sangat dialu-alukan untuk menyertai Malam Munajat dari mana jua berada pada setiap hari Sabtu (malam Ahad) dengan melayari pautan http://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu/.


Foto: BPAAM