بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Pekan Bangar, Sabtu, 02 Safar 1445H bersamaan 19 Ogos 2023M–Bagi menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas penubuhan Sekolah Arab Temburong yang telah mencecah usia 25 tahun, satu majlis kesyukuran sempena Sambutan Jubli Perak penubuhan sekolah berkenaan telah diadakan pagi tadi.
Majlis Sambutan Jubli Perak Penubuhan Sekolah Arab Temburong diadakan bertujuan untuk menghargai jasa para tenaga pengajar yang pernah berkhidmat di sekolah tersebut, di samping mengeratkan hubungan silaturahim di antara alumni, warga sekolah dan para jemputan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, selaku wakil peribadi Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Majlis pagi tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Morsidi bin Haji Awang Tuah, Guru Besar Sekolah Arab Temburong. Ini diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Imam Shokrati bin Haji Bahrun, disusuli dengan bacaan Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Guru Besar Sekolah Arab Temburong, diikuti dengan ucapan khas daripada Tetamu Kehormat Majlis. Acara diteruskan lagi dengan pelancaran Buku Kenangan Zikrayat, Majalah El-Joumana dan buku Surah Yasin oleh Yang Mulia Tetamu Kehormat Majlis, yang kemudian berkesudian untuk menyampaikan buku-buku tersebut kepada para Pengetua dan Guru Besar Sekolah-Sekolah Arab, serta mantan-mantan Guru Besar sekolah berkenaan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan Lagu Rasmi Sekolah serta persembahan menambang syair oleh dua orang alumni Sekolah Arab Temburong, iaitu Yang Mulia Dayang Rubiah binti Haji Timbang dan Yang Mulia Dayang Munirah binti Haji Mohammad Zaini. Seterusnya, Yang Mulia Tetamu Kehormat dibawa beredar untuk menyaksikan pameran mini Menyelusuri Perjalanan 25 Tahun Sekolah Arab Temburong.