بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Temburong, Jumaat, 13 Rabiulawal 1445H bersamaan 29 September 2023M-Seramai 321 orang Muallaf dari keempat-empat daerah menghadiri Majlis Perhimpunan Muallaf Senegara yang diungkayahkan oleh Pusat Da'wah Islamiah melalui Bahagian Pembangunan Muallaf dengan kerjasama Unit Da'wah Daerah Temburong dan Syarikat An-Naafi' bertempat di Dewan Utama Belalong, Mukim Bangar, Daerah Temburong.
Majlis tersebut diadakan antara lain adalah untuk para Muallaf mengetahui sirah nabawiyah dan asas-asas metodologi da'wah Rasulullah
Shallallahu 'alaihi Wasallam di samping mengongsikan pengetahuan ugama Islam kepada keluarga dan saudara-mara yang belum memeluk ugama Islam. Ianya juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mendalami dan menghayati ilmu agama selain mengeratkan hubungan silaturrahim di kalangan Muallaf dari keempat-empat daerah.
Hadir selaku Tetamu Kehormat di majlis pada sesi sebelah pagi itu, ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhaimin bin Zulkifli, Biro Keugamaan Persatuan PESAT, Temburong. Diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh selaku Pengerusi Majlis.
Seterusnya, Tetamu Kehormat Majlis merasmikan Pelancaran Tayangan Video Maritah Belajar Sembahyang (Panduan Muallaf). Majlis diserikan lagi dengan ceramah khas disampaikan oleh Yang Mulia Professor Dr Ustaz Haji Abdul Somad dan diikuti dengan Selawat Badariyah. Majlis pada sesi sebelah pagi diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada penceramah jemputan dan tetamu kehormat majlis dan kemudiannya menyaksikan pameran dan jualan.
Pada sesi sebelah petang pula Majlis Perhimpunan Muallaf Senegara dihadiri oleh Tetamu Khas, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Pemangku Penghulu Zon 1, Daerah Temburong.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, surah Al-Fatihah dan Doa Peliharakan Sultan dipimpin oleh Yang Mulia Awang Ahmad Naufal Azizi bin Mohammad Norisham, Pegawai Perkembangan Ugama (i-Ready). Diikuti dengan taklimat mengenai Perintah Kanun Hukum Jenayah Syariah 2013 oleh Yang Mulia Dayang Hajah Hadiyati binti Haji Abdul Hadi, Pemangku Ketua Pendakwa Syar'ie dari Bahagian Pendakwaan Syar'ie, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan lagu Da'wah dan Selawat oleh Yang Mulia Awang Abdus Salam bin Haji Ali. Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada fasilitator jemputan dan kemudiannya menyaksikan pameran dan jualan.
Majlis Perhimpunan Muallaf Senegara diharap akan dapat menyebarluaskan da'wah Islam kepada para Muallaf serta non-muslims dan juga sebagai platform meningkatkan motivasi dan menarik minat para Muallaf untuk menghadiri majlis ilmu serta memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berkongsisama dan bertukar pengalaman.
Foto: PDI