بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Negara Brunei Darussalam, Hari Sabtu, Sabtu, 28 Rabiulakhir 1445 bersamaan 11 November 2023–Nama surah Al-Waqi‘ah merupakan nama Hari Kiamat, dari perkataan “waqa‘a” yang bermaksud “terjadi”. Ini bermaksud Hari Kiamat akan benar-benar terjadi apabila tiba saatnya nanti. Permulaan surah ini menceritakan tentang hakikat kematian dan menerangkan bagaimana Hari Kiamat akan berlaku. Ini menunjukkan bahawa dunia ini sementara dan kehidupan hakiki yang sebenarnya adalah di akhirat nanti. Surah ini juga memberikan khabar gembira kepada kita dengan menceritakan tentang tiga golongan utama di Akhirat dan ganjaran mereka masing-masing. Tanda-tanda kekuasaan Allah dalam membangkitkan dan memberi balasan turut digambarkan dalam surah ini, menunjukkan rahmat dan keadilan Allah Subhanahu Wa Ta‘ala, iaitu perhitungan yang sangat adil di Akhirat dan nikmat syurga yang sangat banyak.
Demikian antara perkongsian Tadabbur Surah Al-Waqi‘ah yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Dayang Hajah Sarinah binti Haji Yahya, Penolong Profesor, Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Kementerian Pendidikan, semasa acara Malam Munajat Khas Untuk Wanita Kali Ke-12 yang berlangsung malam tadi.
Acara Malam Munajat Khas Untuk Wanita kali ini mengundang Tetamu Khas, Yang Mulia Hajah Dayang Hassanah binti Haji Awang Hassan, Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunel Darussalam yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah. Beliau menyertai dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampong Madang bersama ahli-ahli Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunel Darussalam.
Mengimarahkan lagi acara Malam Munajat Khas Wanita Kali Ke-12 ialah tenaga pengajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, jemaah Muslimah Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampong Manggis / Madang, dan jemaah muslimah dari 10 buah masjid lain di seluruh negara. Ikut sama menyertai ialah Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, isteri Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, dan warga kerja wanita Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan-Jabatan serta Bahagian-Bahagian di bawahnya bersama keluarga dari kediaman masing-masing.
Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, acara diteruskan dengan bacaan Surah Al-Waqi‘ah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Ustazah Dayang Faten Salwa binti Haji Ibrahim, Pegawai Pelajaran, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari musolla (surau) institut berkenaan. Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Ustazah Pengiran Razmahayati binti Pengiran Haji Mahmud, Pegawai Pelajaran selaku Ahli Jawatankuasa Tadbir Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam.
Selesai tadabbur Surah Al-Waqi‘ah, bacaan Selawat Tafrijiyyah dipimpin oleh Yang Mulia Ustazah Dayang Nur Aizat Yatimi binti Haji Shari, Pegawai Pendidikan Tingkat Khas, Maktab Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien, juka selaku Penolong Setiausaha Kehormat II Persatuan Siswazah Wanita Negara Brunei Darussalam.
Bagi menutup acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Dayang Wardah binti Haji Ibrahim, Penolong Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, meminta keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta‘ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafa’kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya.
Orang ramai adalah sangat dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau Facebook Page rasmi Pusat Da’wah Islamiah.