Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MESYUARAT PEGAWAI-PEGAWAI KANAN (SOM) MABIMS KALI KE-47, REPUBLIK SINGAPURA

12 November 2023

MESYUARAT PEGAWAI-PEGAWAI KANAN (SOM) MABIMS KALI KE-47, REPUBLIK SINGAPURA

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Berakas, Ahad, 28 Rabiulakhir 1445 bersamaan 12 November 2023–Perwakilan Negara Brunei Darussalam berlepas meninggalkan negara bagi menghadiri Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS Kali Ke-47 yang akan diadakan pada 13 hingga 14 November 2023 bertempat di Parkroyal On Beach Road, Republik Singapura.

Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS Kali Ke-47 membawa tema 'Kesepakatan Dalam Kesinambungan Beragama'. Penglibatan Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat ini merupakan komitmen negara selaku negara anggota MABIMS. Perwakilan negara diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Ketua Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS Negara Brunei Darussalam.

Di dalam mesyuarat tersebut, perwakilan Negara Brunei Darussalam akan membentangkan Kertas Tema melalui perspektif Brunei dan Laporan Rancangan Strategik di bawah Rancangan Strategik MABIMS 2021 – 2025, iaitu perkembangan berkaitan Bidang Kerjasama Potensi Belia Islam MABIMS. Kertas Tema akan dibentangkan oleh Yang Mulia Dr. Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin, Penolong Pendaftar di Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), yang juga merupakan aktivis belia tempatan.

Perwakilan Negara Brunei Darussalam juga akan membentangkan laporan Projek Kerjasama Penerbitan Tafsir 'Ilmi (Ayat-Ayat Kauniyyat) MABIMS, iaitu projek terbitan bersama negara-negara anggota MABIMS yang diselaraskan oleh Negara Brunei Darussalam. Di samping itu, rombongan perwakilan negara akan bertukar-tukar pandangan bagi mempertingkatkan lagi perancangan dan penyelenggaraan fokus strategik di peringkat MABIMS.

Turut menyertai rombongan ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Albi bin Haji Ibrahim, Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS selaku Ketua Sekretariat MABIMS Brunei; Yang Mulia Dayang Zainab binti Morshidi, Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan selaku Ahli Jawatankuasa Negara Penyelaras Potensi Belia Islam MABIMS; dan Yang Mulia Pengiran Muhammad Azrin bin Pengiran Jarail, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat I di Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS selaku Pegawai Sekretariat MABIMS Brunei.

Hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan ialah Yang Mulia Awang Haji Abd Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Rombongan nanti akan menyertai Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama di Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS) Kali Ke-20, yang akan diadakan pada 15 hingga 17 November 2023 di tempat yang sama.

 



Foto: i-Ready BPAAM