بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Isnin, 26 Jamadilakhir 1445 bersamaan 08 Januari 2024–Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman petang tadi meneruskan sesi lawatan kerja ke Sekolah Ugama Beribi dan Sekolah Ugama Katok (Bangunan Sekolah Menengah) sempena permulaan Sesi Persekolahan Ugama Penggal Pertama bagi Tahun 2024.
Lawatan berkenaan merupakan acara tahunan Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi meninjau pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di persekolahan ugama, di samping menyaksikan lebih dekat prasarana dan kemudahan sekolah bagi memastikan penyediaan dan pencapaian pendidikan ugama yang berkualiti tinggi dan berkesan.
Hadir sama bagi mengalu-alukan rombongan ialah Guru Besar Sekolah Ugama Beribi, Dayang Hajah Jamaliah binti Haji Yasin dan Guru Besar Sekolah Ugama Katok (Bangunan Sekolah Menengah), Dayang Norshuhada binti Haji Moksin.
Pengisian lawatan kerja rombongan Yang Berhormat dimulakan dengan sesi taklimat disampaikan oleh guru besar sekolah dan seterusnya lawatan ke kelas-kelas murid di mana Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama berpeluang berinteraksi dengan murid-murid dan guru-guru.
Turut hadir semasa lawatan kerja tersebut, pegawai-pegawai kanan dan para pegawai dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Sekolah Ugama Beribi




Sekolah Ugama Katok (Bangunan Sekolah Menengah)





Foto: JPI