Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-123

03 February 2024

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-123

​  بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Negara Brunei Darussalam, Hari Sabtu, 23 Rejab 1445 bersamaan 03 Februari 2024–“Tujuan hidup kita adalah untuk beribadah dan sebagai khalifah.  Keduanya memerlukan kita untuk sentiasa memperbaiki diri dengan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, pemikiran yang betul, aqidah yang kuat, serta berakhlak mulia.  Dalam masa yang sama, hendaklah mengajak orang lain untuk sama-sama memperbaiki diri.  Setiap orang mempunyai tanggungjawab mengajak orang lain kepada kebaikan dan mengajak kepada kebaikan itu hendaklah dengan hikmah."

Perkara tersebut antara intipati Tazkirah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin, Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dari Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong sebagai salah satu pengisian program Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-123 malam tadi.

Acara Munajat malam tadi mengundang Tetamu Khas, Yang Mulia Awang Haji Abdul Mateen Bolkini bin Haji Ahmad, Pengerusi Ahli Jawatankuasa Tertinggi Belia Masjid Senegara, yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampong Jerudong.

Bersama mengimarahkan acara Munajat malam tadi ialah siswa-siswa Diploma 'Aliyah Qira'at dan pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid serta jemaah Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampong Jerudong; dan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong;  serta beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat dari seluruh Negara berjumlah 71 buah.  Juga menyerikan acara Munajat, warga kerja di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama keluarga dari kediaman masing-masing.

Selepas bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Dukhan beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Zainal Mustapa bin Jaluddin, Siswa Tahun 2 Diploma 'Aliyah Qira'at Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohamed Noor bin Haji Ibrahim, Pegawai Pelajaran, Pusat lImu Teras Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Zikir Al Maghfirah Wa Al-Rahmah dipimpin oleh siswa-siswa Diploma 'Aliyah Qira'at dan pelajar-pelajar Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah dari Musolla Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Bagi mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Haji Muhammad Yadiy bin Haji Yussof, Imam Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampong Jerudong dari Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampong Jerudong.

Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, meminta keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya. 

Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.