Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PELANCARAN BUKU BERTAJUK “MASJID-MASJID BRUNEI DARUSSALAM (MOSQUES OF BRUNEI DARUSSALAM)

04 February 2024

MAJLIS PELANCARAN BUKU BERTAJUK “MASJID-MASJID BRUNEI DARUSSALAM (MOSQUES OF BRUNEI DARUSSALAM)

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Bandar Seri Begawan, Ahad, 23 Rejab 1445 bersamaan 04 Februari 2024–Buku bertajuk “Masjid-Masjid Negara Brunei Darussalam" (Mosques of Brunei Darussalam) diterbitkan dengan tujuan untuk menonjolkan sejarah masjid-masjid utama di Negara Brunei Darussalam dan seluruh dunia. Terdapat banyak rujukan sejarah yang diketengahkan di dalam buku tersebut termasuk daripada kitab suci Al-Quran berkenaan masjid dalam sejarah Islam dan hadis Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam tentang adab memasuki sesebuah masjid.

Sehubungan dengan itu, petang tadi diadakan Majlis Pelancaran Buku Bertajuk “Masjid-Masjid Negara Brunei Darussalam" (Mosques of Brunei Darussalam) bertempat di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti oleh ucapan Pengerusi Majlis yang juga Pengarang buku tersebut iaitu Yang Mulia Dato Paduka Dr. Haji Abdul Latif bin Haji Ibrahim.

Seterusnya, ucapan daripada Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Tetamu Kehormat Majlis. Disusuli dengan Pelancaran Buku “Masjid-Masjid Negara Brunei Darussalam".

Di samping mengandungi sejarah masjid-masjid utama di Negara Brunei Darussalam, buku tersebut juga mengongsikan tentang bagaimana dan mengapa Allah Subhanahu Wa Ta'ala menyelamatkan beberapa buah masjid penting daripada kemungkinan kemusnahan. Selain itu, menceritakan pengalaman pengarangnya melalui lawatan-lawatan peribadi beliau ke masjid-masjid di luar negara.

Penerbitan buku “Masjid-Masjid Negara Brunei Darussalam" adalah diharapkan sebagai sumber pengetahuan dan rujukan kepada orang ramai di samping menjadi sumbangan ke arah pembangunan masjid-masjid masa depan di Negara Brunei Darussalam.

Pengarang buku “Masjid-Masjid Negara Brunei Darussalam" iaitu Yang Mulia Dato Paduka Dr Haji Abdul Latif merupakan bekas Pengarah Balai Kenangan Al-Marhum Sultan Omar 'Ali Saifuddien di Istana Nurul Iman. Beliau berkelulusan PhD dalam pengajian Antropologi di Universiti Kebangsaan Malaysia serta Sarjana Falsafah dalam Antropologi dari Universiti Cambridge United Kingdom.

 

​Foto: BPAAM