Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-124

10 February 2024

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-124

​  بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Negara Brunei Darussalam, Hari Sabtu, 01 Sya'ban 1445 bersamaan 10 Februari 2024–Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama diteruskan lagi untuk Kali Ke-124 dan minggu ini mengundang Tetamu Khas, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampong Manggis Madang yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampong Manggis Madang.

Turut mengimarahkan acara Munajat malam tadi ialah ahli-ahli Jawatankuasa Takmir Masjid serta jemaah dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampong Manggis Madang;  Masjid Kampong Penanjong, Tutong; dan Masjid Kampong Belais, Temburong;  serta beberapa buah masjid termasuk surau dan balai ibadat dari seluruh Negara berjumlah 67 buah.  Bersama menyemarakkan acara Munajat, warga kerja di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama bersama keluarga dari kediaman masing-masing.

Selesai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diteruskan dengan bacaan Surah Ad-Dukhan beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Dilla Aiyad Kasyidi bin Ahmadi, Imam Masjid Kampong Penanjong, Tutong, dari Masjid Kampong Penanjong, Tutong.

Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohd Amin bin Haji Salim, Pegawai Pemantau Masjid-Masjid Zon 3, Daerah Brunei dan Muara dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampong Manggis Madang.

Menyerikan lagi Malam Munajat ialah Tazkirah bertajuk “Sembahyang Tiang Ugama" disampaikan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Khaizuran Amali bin Haji Kamsani, Imam Tingkat 3, dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit Kampong Manggis Madang. 

Antara pengisian Tazkirah menyatakan mengenai: “Al-Imam Al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: “Sembahyang Tiang Ugama.  Sesiapa yang meninggalkannya, dia meruntuhkan agama."  Tazkirah juga menerangkan bahawa sembahyang itu sebagai Tiang Ugama kerana di dalamnya segala rukun yang 5 diulang-ulang sebanyak 5 kali sehari semalam.  Sembahyang juga mencegah dari perbuatan keji dan mungkar, ertinya selama mana kita Sembahyang, kita di dalam keadaan ketaatan.

Sejurus selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Asma'ul Husna dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohd Safwan bin Zolkipli, Imam Tingkat IV bersama Ahli-Ahli Jawatankuasa Takmir dan Jemaah Masjid Kampong Belais, Temburong, dari Masjid Kampong Belais, Temburong.

Bagi mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Nuzli bin Haji Jumat, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, dari Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampong Manggis Madang.

Malam Munajat anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama mengajak orang ramai untuk bersama-sama mempertingkatkan amalan kerohanian, meminta keampunan dari Allah Subhanahu Wa Ta'ala dengan beristighfar, membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan menghayati maknanya, serta merafa'kan dan mengamiinkan doa secara serentak beramai-ramai dengan harapan agar Negara Brunei Darussalam dan seluruh rakyat dan penduduknya terselamat dari segala bala bencana dan penyakit merbahaya. 

Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.