Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PERJUMPAAN MUHIBBAH ANTARA AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA DENGAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA BAGI TAHUN 2024

12 February 2024

PERJUMPAAN MUHIBBAH ANTARA AHLI-AHLI MAJLIS MESYUARAT NEGARA DENGAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA BAGI TAHUN 2024

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Bandar Seri Begawan, Isnin, 02 Sya'ban 1445 bersamaan 12 Februari 2024–Isu-isu yang dibincangkan adalah diharap akan dapat memberikan rumusan kehadapan terutama mengenai 3 isu iaitu Produk-Produk Import yang Diragui Kehalalannya; Hal Ewhal berkaitan Zakat, Wakaf dan Baitulmal; dan Memperkasa Pendidikan Ugama/Sekolah Arab. 

Perkara tersebut antara yang dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, di dalam Ucapan Alu-Aluan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama di Perjumpaan Muhibbah Kementerian Hal Ehwal Ugama dengan Ahli-Ahli Mesyuarat Negara pagi tadi diadakan bertempat di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Diikuti dengan Ucapan Balas daripada Ketua Rombongan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, antara lain, Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam, menghargai segala perkongsian maklumat daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama berupa perancangan Kementerian, pencapaian, perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai serta cabaran yang dihadapi.  Perkongsian tersebut jelas Yang Berhormat, tidak lain adalah untuk sama-sama meraikan kemajuannya dan penambahbaikannya bagi mempertingkatkan kualiti dan kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan yang disediakan dan menjadikannya antara perkhidmatan terbaik yang memberikan manfaat kepada semua pihak khususnya umat Islam di negara ini.

Manakala, taklimat disampaikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim mengongsikan mengenai Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2020-2024 sebagai panduan dalam merancang dan melaksanakan inisiatif-inisiatif Perkhidmatan Ugama serta sebagai pengukur kepada pencapaian di peringkat Antarabangsa, khususnya dalam platform MABIMS.  Selain itu, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga mengambil langkah strategik dengan mengoptimakan sumber tenaga manusia melalui penyelarasan Struktur Organisasi Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam memastikan pelaksanaan Perkhidmatan Ugama akan lebih teratur dan terarah.

Atur cara diteruskan dengan sesi dialog antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dengan pihak Kementerian Hal Ehwal Ugama yang memfokus kepada isu-isu yang ditimbulkan semasa sesi Perbahasan Rang Undang-Undang 2023, Perbekalan Tahun Kewangan 2023/2024.

Sesi dialog ini dijalankan dalam suasana harmoni yang dapat mengeratkan lagi jalinan ukhuwah antara Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara di samping memberikan inspirasi yang bermanfaat kepada Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, terutamanya mengenai Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama yang telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi mencapai visi Kementerian Hal Ehwal Ugama secara berstruktur dan berhemah serta meningkatkan lagi mutu perkhidmatan ugama di Negara Brunei Darussalam.

Terdahulu, sebelum Perjumpaan Muhibbah bermula, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara berpeluang melawat ke Jabatan Urusan Zakat, Wakaf dan Baitulmal bertujuan untuk mengetahui dan menyaksikan secara dekat mengenai proses dan perkhidmatan yang dikendalikan oleh Jabatan berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan;  Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim;  Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Yang Mulia Dr. Awang Haji Adanan bin Haji Basar;  Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Misle bin Haji Abd Karim; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh; serta Ketua-Ketua Jabatan dan Bahagian di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama.

 

 


Foto: i-Ready BPAAM