بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Bandar Seri Begawan, Selasa, 17 Sya'ban 1445 bersamaan 27 Februari 2024–Orang ramai sekali lagi berpeluang untuk menyumbang ke Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam melalui Perkhidmatan Pesanan Ringkas atau SMS bagi tempoh selama 10 bulan, bermula pada hari ini, Selasa, 17 Sya'ban 1445H bersamaan 27 Februari 2024M hingga 24 Jamadilakhir 1446H bersamaan 26 Disember 2024M.
Sumbangan seangkat-angkat hati boleh diberikan melalui perkhidmatan SMS dengan menaip MASJID dengan diikuti 100, 50, 20, 15, 10, 5 atau 1 tanpa jarak dan hantar ke talian 38111 bagi pengguna DST dan Progresif, manakala 39999 bagi pengguna Imagine Sendirian Berhad.
Sehubungan itu, petang tadi telah berlangsung Majlis Pelancaran Perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid yang disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama, selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengutipan dan Pengeluaran Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam. Acara berlangsung di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Mengiringi Tetamu Kehormat bagi pelancaran perkhidmatan SMS Tabung Dana tersebut ialah Yang Mulia Radin Sufri Radin Basiuni, Ketua Pegawai Eksekutif DST Sendirian Berhad; Yang Mulia Abdul Hakeem bin Haji Basir, Ketua Pegawai Pentadbiran, Progresif Sendirian Berhad; dan Yang Mulia Awang Mohamed Hazman bin Dato Paduka Haji Awang Othman, wakil dari Imagine Sendirian Berhad; serta turut mengiringi Yang Mulia Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri, Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, selaku Ketua Urusetia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.
Majlis Pelancaran Perkhidmatan SMS tersebut diserikan dengan tayangan video klip Promo Perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam. Ini diikuti dengan acara penghantaran sumbangan melalui SMS beramai-ramai oleh para hadirin.
Acara pada petang tersebut diteruskan lagi dengan Majlis Penerimaan Kutipan Sumbangan Perkhidmatan SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam bagi Tahun 2023M.
Sejumlah BND$245,448.00 telah berjaya dikutip melalui penerimaan sumbangan perkhidmatan pesanan ringkas SMS Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam, yang telah dibukakan selama 09 bulan bermula 21 Mac 2023 hingga 20 Disember 2023 yang lalu.
Yang Mulia Radin Sufri Radin Basiuni, Ketua Pegawai Eksekutif DST Sendirian Berhad menyerahkan sumbangan dari kutipan SMS sebanyak BND$210,619.00. Diselajurkan dengan penyampaian sumbangan dari DST Sendirian Berhad sebanyak BND$10,000.00. untuk Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam.
Manakala Progresif Sendirian Berhad yang diwakili oleh Yang Mulia Abdul Hakeem bin Haji Basir, Ketua Pegawai Pentadbiran, telah dmenyerahkan sebanyak BND$31,858.00.
Sementara Imagine Sendirian Berhad yang diwakili oleh Yang Mulia Awang Mohamed Hazman bin Dato Paduka Haji Awang Othman telah menyerahkan BND$2,971.00 yang mana setiap jumlah tersebut adalah kutipan yang berjaya dikumpul sepanjang tempoh kutipan dibukakan.
Sejak Perkhidmatan Kutipan Sumbangan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam dibukakan melalui SMS dari tahun 2015 hingga tahun 2023, Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid telah berjaya mengutip sebanyak $1,907,331.00.
Adapun Penubuhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid, Negara Brunei Darussalam adalah dihasratkan menjadi wadah kekal bagi orang-orang Islam untuk menabung pahala dengan membina masjid, sekaligus sebagai satu peluang keemasan untuk bertanam saham di akhirat. Pelancaran dana tersebut memberi peluang kepada umat Islam di Negara ini untuk menginfaqkan (membelanjakan) harta yang dimiliki dengan niat sebagai ibadah dan melipatgandakan amal kebajikan semata-mata bagi meraih ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala kepada orang-orang yang membina masjid.
Sehingga bulan Januari 2024, baki keseluruhan Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam ialah sebanyak BND$25,338,123.27. Sejak awal penubuhan Tabung Dana sehingga kini, Tabung Dana telah berjaya melaksanakan 2 buah projek pembinaan masjid baru, dan 3 buah projek pemuliharaan dan ketika ini, sebuah projek pembinaan masjid baru iaitu Masjid Kampong Junjongan dan 2 buah projek tambahan bangunan sedang giat dilaksanakan, iaitu Masjid Kampong Sungai Buloh dan Masjid Kampong Kupang. In Sya Allah projek seterusnya ialah, pembinaan Masjid Baru Kampong Ukong di Daerah Tutong.
Kemajuan yang dicapai adalah merupakan sambutan, komitmen dan sumbangan seangkat hati orang ramai terhadap Tabung Dana ini dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata'ala jua. Semoga Allah Subhanahu Wata'ala menerima segala amalan kita semua.










Foto: i-Ready BPAAM