Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PUSAT DA’WAH ISLAMIAH MENYEMARAKKAN RAMADHAN BERSAMA MUALLAF DI PEDALAMAN ULU BELAIT

30 March 2024

PUSAT DA’WAH ISLAMIAH MENYEMARAKKAN RAMADHAN BERSAMA MUALLAF DI PEDALAMAN ULU BELAIT

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

BELAIT, Sabtu, 19 Ramadhan 1445 bersamaan 30 Mac 2024–Bagi menyemarakkan lagi bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, pelbagai aktiviti keagamaan giat dilaksanakan khususnya yang melibatkan golongan Muallaf di kawasan pedalaman. Sehubungan itu, rombongan Pusat Da'wah Islamiah yang terdiri dari para pegawai dan kakitangan Bahagian Pengembangan Da'wah, Bahagian Pembangunan Muallaf dan Unit Da'wah Daerah Belait telah mengadakan Majlis Bertadarus serta Munajat Ramadhan di Rumah Panjang Apak-Apak, Kampung Bang Taong, Daerah Belait.

Kunjungan dari Pusat Da'wah Islamiah ke tempat berkenaan disertai oleh Pemangku Pengarah Pusat Da'wah Islamiah, Yang Mulia, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, selaku ketua rombongan.

Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Muhammad Aliyani bin Ismail, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait; dan Yang Mulia Awang Rantai anak Jawa, wakil Rumah Panjang Apak-Apak, Kampung Bang Taong.

Acara Majlis Bertadarus dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan Tadarus yang dipimpin oleh Ketua Rombongan. Disusuli dengan bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam. Seterusnya, penyampaian buah tangan kepada penghuni Rumah Panjang Apak-Apak, Kampung Bang Taong, Daerah Belait. Acara diteruskan dengan Sembahyang Fardhu Zohor berjemaah dan kemudiannya mengikuti secara maya Munajat Ramadhan anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama bagi memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala agar Negara Brunei Darussalam sentiasa diberi perlindungan daripada bala bencana dan segala jenis penyakit.

Kunjungan seumpama ini diadakan antara lain bertujuan mengajak para Muallaf untuk sama-sama menghayati bulan Ramadhan dengan melakukan berbagai aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Quran dan sembahyang berjemaah.

 

 

​Foto: PDI