بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
BELAIT, Sabtu, 19 Ramadhan 1445 bersamaan 30 Mac 2024–Rombongan daripada Pusat Da'wah Islamiah terdiri dari para pegawai dan kakitangan Bahagian Pengembangan Da'wah, Bahagian Pembangunan Muallaf dan Unit Da'wah Daerah Belait meneruskan lagi Majlis Bertadarus bersama Muallaf Mukim Sukang dan Mukim Melilas di Julangan Titah Rumah Panjang Kampung Melilas, Daerah Belait.
Hadir selaku ketua rombongan ialah Yang Mulia Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidop, Ketua Bahagian Pengembangan Da'wah, Pusat Da'wah Islamiah.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Tadarus yang dipimpin oleh Ketua Rombongan. Acara disusuli dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah, dan kemudiannya diakhiri dengan penyampaian buah tangan kepada penghuni Julangan Titah Rumah Panjang Kampung Melilas, Rumah Besar Kampung Sukang, dan Rumah Panjang Punan yang disempurnakan oleh Ketua Rombongan.
Kunjungan seumpama ini diadakan antara lain bertujuan untuk mengajak para Muallaf untuk sama-sama menghayati bulan Ramadhan dengan melakukan berbagai aktiviti keagamaan seperti membaca Al-Quran dan sembahyang berjemaah.
Foto: PDI