Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

ZIARAH AMAL BERSEMPENA BULAN RAMADHAN 1445H

30 March 2024

ZIARAH AMAL BERSEMPENA BULAN RAMADHAN 1445H

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Negara Brunei Darussalam, Sabtu, 19 Ramadhan 1445 bersamaan 30 Mac 2024-Amalan bersedekah pada bulan Ramadhan memiliki kelebihannya yang tersendiri.  Dalam bulan suci Ramadhan yang masih berbaki ini, Bahagian Pendakwaan Syar'ie, Kementerian Hal Ehwal Ugama tidak melepaskan peluang dengan memperbanyakkan sedekah kepada golongan yang memerlukan di negara ini dengan mengadakan Program Ziarah Amal Bersempena Bulan Ramadhan 1445H.

Pada tahun ini, enam buah keluarga telah dipilih untuk menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai.  Manakala seorang lagi penerima diberikan bantuan berupa peralatan elektrik bagi kegunaan harian.  Rombongan pegawai-pegawai dan kakitangan Bahagian tersebut telah diketuai oleh Yang Mulia Dayang Hajah Hadiyati binti Haji Abdul Hadi, Pemangku Ketua Pendakwa Syar'ie.

Program Ziarah Amal yang merupakan aktiviti tahunan Bahagian tersebut bertujuan untuk memberikan sedikit bantuan dan meringankan beban keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan.  Selain mencontohi sifat dermawan Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wa Sallam di bulan mulia dan penuh barakah ini, program tersebut juga dihasratkan agar dapat menggalakkan amalan menyantuni golongan yang kurang bernasib baik serta memupuk semangat saling bantu-membantu sesama masyarakat.

 

​Foto: BPS