Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENYAMPAIAN DERMA ANAK-ANAK YATIM WARGA KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA BAGI TAHUN 1445H/2024M

03 April 2024

MAJLIS PENYAMPAIAN DERMA ANAK-ANAK YATIM WARGA KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA BAGI TAHUN 1445H/2024M

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

BERAKAS, Rabu, 23 Ramadhan 1445 bersamaan 3 April 2024–Bersempena bulan Ramadhan yang penuh keberkatan di mana segala amal kebajikan serta sedekah dikurniakan dengan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah Subhanahu Wa ta'ala, Kementerian Hal Ehwal Ugama pagi tadi menyerahkan sumbangan derma kepada seramai 35 orang anak yatim warga Kementerian berkenaan.

Majlis penyampaian derma kepada anak-anak yatim tersebut berlangsung di Dewan Multaqa, Bangunan Tambahan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Jalan Dewan Majlis.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sumbangan derma ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran Dan Kewangan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Misle bin Haji Abd Karim.

Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Tahlil dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Sahat, Pegawai Jabatan Pengajian Islam dan dan Doa Arwah dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohamad Azmi bin Awang Haji Jali, Pegawai Jabatan Pengajian Islam. Kemudian majlis diteruskan dengan penyampaian derma anak-anak yatim dan bantuan ihsan kepada para penerima.

Antara lain tujuan Majlis Penyampaian Derma kepada Anak-Anak Yatim Warga Kementerian Hal Ehwal Ugama adalah untuk meringankan beban mereka yang memerlukan di samping menanamkan nilai-nilai murni dalam kalangan warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui kerja-kerja amal dan amalan bersedekah, serta melahirkan warga Kementerian yang sentiasa prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat. Majlis diadakan jua adalah sebagai melahirkan rasa prihatin dalam membantu dengan ihsan dalam persiapan bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.

 

Foto; i-Ready BPAAM