Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM SIRI TADABBUR AL-QURAN 7.0 (STQ 7.0) YANG BERTEMAKAN “RAMADHAN PERGI, IBADAH JANGAN BERHENTI”

08 April 2024

PROGRAM SIRI TADABBUR AL-QURAN 7.0 (STQ 7.0) YANG BERTEMAKAN “RAMADHAN PERGI, IBADAH JANGAN BERHENTI”

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Pulaie, 28 Ramadhan 1445 bersamaan 8 April 2024–Badan Sukarelawan Belia Da'ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah meneruskan Program Siri Tadabbur Al-Qur'an 7.0 bagi minggu terakhir Ramadhan di Dewan Serbaguna, Pusat Da'wah Islamiah.

Dengan tajuk “Ramadhan Pergi, Ibadah Jangan Berhenti" petikan dari surah Hud Ayat 112 hingga 115 disampaikan oleh Yang Mulia Ustaz Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abd Rahman, Penolong Pengarah, Pusat Da'wah Islamiah. Antara pengisiannya menekankan tentang kepentingan istiqamah dengan berpegang teguh pada dinullah (ugama/perintah Allah) kerana menurut Ibn 'Abbas R.A, ayat 114 ia adalah merupakan tuntutan yang paling berat di dalam Al-Qur'an. Beliau juga menerangkan tiga bahagian istiqamah iaitu dengan lisan (terjaga lisan dalam hal umum & aqidah), dengan hati (niat yang betul dan ikhlas) dan dengan jiwa (terus beribadah dan taat kepada Allah). Begitu juga beberapa cabaran istiqamah mempertahankan kebenaran itu ialah mudah dan cepat kecewa serta putus asa, oleh itu surah ini berfungsi sebagai penenang hati Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam kerana para al-anbiya' terdahulu juga pernah diuji dengan penentangan kaum mereka. Terakhir penceramah mengongsikan tips dan cara untuk istiqamah iaitu niat, berkawan dengan orang soleh, berada di persekitaran yang baik, berdoa, tahu akan pahala istiqamah, hindari penyakit-penyakit hati dan memperbanyak istighfar. Juga empat rukun-rukun istiqamah yang perlu dijaga iaitu tidak melampaui batas dalam menjalankan perintah Allah, tidak cenderung kepada orang zalim, mendirikan solat fardhu 5 waktu dan bersikap sabar.

Pada minggu terakhir ini juga diteruskan lagi dengan segmen khas iaitu sesi Kuiz secara online yang dikelolakan oleh Ahli jawatankuasa Belia Da'ie sebagai pengukuhan pengetahuan dan kefahaman orang awam terhadap ayat-ayat yang telah ditadabburi.

Alhamdulillah, sambutan orang ramai adalah amat menggalakkan. Seramai 70 orang telah menghadiri program tersebut yang terdiri daripada kalangan para Asatizah Negara Brunei Darussalam, pegawai pegawai kerajaan, golongan pesara, para belia termasuk NGO luar, mahasiswa dan mahasiswi universiti, para alumni Akademi Da'wah dan juga persendirian. Rakaman program ini juga boleh didapati di Instagram rasmi Belia Da'ie.

Diharapkan semoga program Siri Tadabbur Al-Qur'an 7.0 ini menjadi salah satu usaha para belia dalam menjalankan amar ma'ruf di Negara Brunei Darussalam agar dapat melahirkan lebih ramai masyarakat yang cintakan Al-Qur'an dengan menjadikan amalan pembacaan dan tadabbur Al-Qur'an sebagai amalan sepanjang hayat bagi memperolehi keberkatan dan syafaat di akhirat kelak. Justeru itu, orang ramai dialu alukan untuk mengikuti Instagram rasmi Belia Da'ie (@beliadaie) bagi makluman lanjut mengenai bakal bakal program yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa. InshaaAllah.

 

Foto: PDI