Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

KETETAPAN 01 SYAWAL 1445 HIJRAH BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

09 April 2024

KETETAPAN 01 SYAWAL 1445 HIJRAH BAGI NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

BERAKAS, Selasa, 29 Ramadhan 1445 bersamaan 09 April 2024–Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, maka Yang Berhormat, Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam dengan ini memaklumkan bahawa ketetapan 01 Syawal 1445 Hijrah bagi Negara Brunei Darussalam akan jatuh pada hari Khamis, 11 April 2024.   

Hasil Merukyah Awal Bulan Syawal, 1445 Hijrah pada petang tadi telah diumumkan secara langsung melalui Radio Televisyen Brunei, Jabatan Perdana Menteri. Berikutan itu, Negara Brunei Darussalam akan menyambut Awal Bulan Syawal bagi tahun 1445 Hijrah pada Hari Khamis, 11 April 2024.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Yang Di-Pertua Majlis Ugama Islam Brunei setelah bersidang mengenai hasil merukyah anak bulan Syawal 1445 Hijrah pada tahun ini dari tempat-tempat yang ditentukan dan ketetapan persidangan tersebut telah disembahkan ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Persidangan yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Hal Ehwal Ugama, Kementerian Hal Ehwal Ugama juga dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Arif Dato Seri Setia Haji Johar bin Haji Muhamad; Timbalan Mufti Kerajaan Yang Mulia Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Japar bin Haji Mat Dain @ Maidin serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Majlis Ugama Islam Brunei; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Ugama Islam dan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

Pada tahun ini, lima buah lokasi telah ditetapkan untuk merukyah anak bulan Syawal, 1445 Hijrah, iaitu; Menara Bangunan Ibu Pejabat DST, Taman Rekreasi Tanjung Batu, Daerah Brunei dan Muara; Bukit Agok, Jerudong, Daerah Brunei dan Muara; Bangunan Hilal Bukit Ambog, Daerah Tutong; Bangunan Hilal Bukit Lumut; Daerah Belait.

Acara keagamaan bagi menunggu hasil rukyah 01 Syawal 1445 Hijrah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Qur'an oleh Yang Mulia Awang Zainal Mustapa bin Jaluddin dan penyampai Tadabbur al-Qur'an oleh Yang Mulia Awang Hilman bin Haji Salim.

Bacaan Tahlil dan Doa Arwah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Amin bin Haji Salim, Pegawai Pemantau Zon 3, Pejabat Hal Ehwal Masjid dan seterusnya mengimamkan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Azan Maghrib dikumandangkan oleh Yang Mulia Yang Mulia Razman bin Haji Ramlee, Bilal Tingkat I, Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit, Kampong Manggis Madang.

Berikutan anak bulan Syawal telah tidak berhasil dilihat maka bulan Ramadan akan digenapkan 30 hari dan Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara masih berjalan seperti sebelumnya dan Sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri akan bermula pada Hari Khamis, 11 April 2024 Masihi mulai jam 7.30 pagi di seluruh masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.

 

Foto: i-Ready BPAAM