Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

HALAQAH FIQH WANITA 1445H / 2024M

13 May 2024

HALAQAH FIQH WANITA 1445H / 2024M

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Pulaie, Sabtu, 04 Zulkaedah 1445 bersamaan 13 Mei 2024-Seramai 35 orang peserta wanita terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pusat Da'wah Islamiah pagi tadi menghadiri Halaqah Fiqh Wanita 1445H/2024M di Dewan Persidangan, Pusat Da'wah Islamiah, Kampung Pulaie.   Halaqah dikendalikan oleh Pusat Da'wah Islamiah melalui Bahagian Penyebaran Da'wah (Unit Ceramah).

2 orang fasilitator dijemput bagi Halaqah tersebut iaitu Yang Mulia Dayang Hajah Siti Aishah binti Haji Abu Bakar, Pegawai Buhuth, dan Yang Mulia Dayang Hajah Noarasikin binti Haji Abdul Majid, Pegawai Istinbat, keduanya dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri.

Majlis Halaqah Fiqh Wanita dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat. Selesai sahaja halaqah, diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada fasilitator-fasilitator jemputan disempurnakan oleh Yang Mulia Ustazah Dayang Hajah Zunainah binti Haji Gunong, Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah.

Halaqah Fiqh Wanita ini diadakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman para pegawai Pusat Da'wah Islamiah mengenai pengiraan hari Haidh dan Istihadhah serta kategorinya dan hukum ibadat dalam tempoh tersebut menurut Mazhab Syafi'e.  Di samping itu, untuk meleraikan kekeliruan dan mengenalpasti darah dan tindakan yang sepatutnya dilakukan menurut pandangan Islam.  Perkara ini adalah penting diketahui kerana ia berkait rapat dengan kewajipan menunaikan ibadat seperti mandi, sembahyang dan puasa.  Selain itu, untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab para Da'ie Pusat Da'wah Islamiah sebagai perungkai permasalahan dalam menentukan hukum darah kaum wanita, dan dalam menyebarkan ilmu Fardhu 'Ain yang betul lagi sahih kepada masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

 

​Foto: PDI