بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Berakas Selasa malam Rabu, 13 Zulkaedah 1445 bersamaan 21 Mei 2024-Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah Ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan berangkat ke Majlis Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi. Majlis berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di Pusat Persidangan Antarabangsa dijunjung oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi; Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie; Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi); Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama; serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi dan pengendali-pengendali bersama serta jawatankuasa-jawatankuasa kerja yang lain.
Di Musabaqah tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya menyempurnakan perasmian Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar, Ketua Hakim Syar'ie.
Acara diikuti dengan sembah alu-aluan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah/2024 Masihi.
Musabaqah kemudiannya dimulakan dengan bacaan Al-Qur'an dari tiga (3) orang peserta. Mereka adalah Yang Mulia Haji Awang Muhammad Fikri bin Haji Awang Metussin; Yang Mulia Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri; Yang Mulia Awangku Adi Nazri bin Pengiran Haji Jofri.
Majlis diteruskan dengan Persembahan Nasyid (Al-Qur'an Syafa'ah) iaitu Lagu tema Musabaqah oleh Mahasiswa-Mahasiswa 'Aliyah Qiraat, Institut Tahfiz Al-Qur'an Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Musabaqah disambung dengan bacaan Al-Qur'an dari tiga (3) orang lagi peserta. Mereka adalah Yang Mulia Dr. Hajah Siti Wardah binti Mejar (B) Haji Abd Rahman; Yang Mulia Awang Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya dan Yang Mulia Dayang Amal Nazirah binti Haji Asmat.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan kerabat Diraja kemudiannya berangkat meninggalkan Majlis setelah selesai enam (6) orang peserta memperdengarkan bacaan masing-masing di hari pertama Musabaqah.
Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi ini membawa Tema: “Al-Qur'an Pedomanku".
Musabaqah berlangsung selama tiga (3) hari berturut-turut dan akan disambung lagi pada hari kedua, esuk malam, 14 Zulkaedah 1445H bersamaan 22 Mei 2024M. Sementara itu, Majlis Pengumuman Keputusan bagi menentukan Johan Qari dan Qariah Musabaqah Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi akan diumumkan pada Hari Khamis malam Jumaat, 15 Zulkaedah 1445H bersamaan 23 Mei 2024M di Dewan Plenary Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Musabaqah dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Pertahanan; Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei; Insurans Islam TAIB Holdings Sdn. Bhd; dan Darussalam Holdings Sdn. Bhd.















Foto: i-Ready BPAAM