Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-138

08 June 2024

MALAM MUNAJAT ANJURAN KEMENTERIAN HAL EHWAL UGAMA KALI KE-138

​  بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Negara Brunei Darussalam, Hari Sabtu, 02 Zulhijjah 1445 bersamaan 08 Jun 2024–Acara Munajat kali ke-138 malam tadi disemarakkan dengan penyertaan para jemaah Haji Negara Brunei Darussalam secara maya dari Makkah Al-Mukarramah yang dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Mulia Awang Haji Mahmud bin Haji Mohamed, Pengarah Urusan Syarikat Darussalam Services Sdn. Bhd.

Seterusnya, bacaan Surah Yasin beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Mohammad Asdey Hazabullah bin Haji Md Zain, Imam Masjid Kampung Limau Manis, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, iaitu Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam dari Makkah Al-Mukarramah.   Diikuti dengan Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Pengiran Haji Reduan bin Pengiran Haji Badaruddin, Guru Ugama, Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Pentadbiran) juga dari Makkah Al-Mukarramah.

Sementara Tazkirah bertajuk “Tunjukkan Amal Terbaik Kita" disampaikan oleh Yang Mulia Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis.  Intipati Tazkirah antara lain menyentuh mengenai “bulan Zulhijjah, salah satu bulan suci yang terhimpun di dalamnya 2 ibadah yang sangat agung iaitu ibadah Haji dan ibadah Qurban.  Dalam bulan Zulhijjah ini kita selalu diperingatkan tentang kisah pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim 'Alaihissalam.  Dalam bulan Zulhijjah ini juga terdapat 10 hari yang merupakan hari-hari yang paling disukai Allah Subhanahu wa Ta'ala untuk seseorang melakukan amal ibadah.   Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Surah al-Mulk ayat 2 yang bermaksud: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu; siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).  Allah Subhanahu wa Ta'ala telah menciptakan hidup kita sekarang ini untuk melihat siapakah yang lebih baik amalnya dan melahirkan amalan terbaik, mestilah ada pengorbanan.  Oleh itu, kita korbankanlah masa dan tenaga untuk melakukan amalan terbaik kita pada 10 hari yang Allah Subhanahu wa Ta'ala paling sukai, iaitu 10 hari terawal Zulhijjah ini bermula hari ini 8 – 17 Jun."

Selesai Tazkirah, disusuli dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah beramai-ramai oleh para jemaah Haji Negara Brunei Darussalam dari Makkah Al-Mukarramah.   Bagi memberkati acara Munajat, bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Azree bin Haji Ashli, Imam Masjid Kampung Lumapas, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dari Masjid Kampung Lumapas.

Ikut serta mengimarahkan acara Munajat malam tadi ialah Ahli Jawatankuasa Takmir, para belia dan jemaah dari Masjid Pehin Khatib Abdullah, Kampung Kulapis dan Masjid Kampung Lumapas serta mereka yang hadir secara fizikal mahupun secara maya dari 73 buah masjid termasuk surau dan balai ibadat di seluruh Negara.  Juga menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan-jabatan di bawahnya bersama keluarga dari kediaman masing-masing.

Orang ramai adalah dialu-alukan menyertai acara Malam Munajat pada setiap hari Sabtu Malam Ahad secara maya melalui pautan https://tiny.cc/munajatkheu atau https://www.facebook.com/pdi.kheu.