Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PERTANDINGAN TAUSYEH BAGI BELIA DAN BELIAWANIS MASJID SENEGARA TAHUN 1445H/2024M

09 June 2024

PERTANDINGAN TAUSYEH BAGI BELIA DAN BELIAWANIS MASJID SENEGARA TAHUN 1445H/2024M

​  بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Pekan Muara, Ahad, 2 Zulhijjah 1445 bersamaan 9 Jun 2024–Masjid bukan hanya sebagai tempat beribadat bahkan juga berperanan sebagai media da'wah dalam menarik minat masyarakat Islam agar berjinak-jinak dan bergiat aktif dengan masjid di samping dapat membentuk akhlak yang berteraskan keislaman di kalangan masyarakat Islam.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Hal Ehwal Masjid melalui Bahagian Hal Ehwal Belia dengan kerjasama Kumpulan Belia Masjid Setia Ali Pekan Muara dan Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Setia Ali Pekan Muara pagi tadi mengungkayahkan Pertandingan Lagu-Lagu Tausyeh bagi Kumpulan Belia dan Beliawanis Masjid Senegara. Pertandingan seumpama ini merupakan kesinambungan pertandingan yang telah diadakan pada tahun lalu dan akan menjadi aktiviti tahunan.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

Tujuan pertandingan ini diadakan bukan sahaja untuk menyahut hasrat dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir tetapi bagi mencungkil bakat terpendam di kalangan kumpulan belia dan beliawanis, di samping menghidupkan syiar Islam dan mengekalkan lagu-lagu tausyeh di kalangan masyarakat Islam agar tidak hilang ditelan zaman.

Semoga dengan mengadakan aktiviti dan pertandingan seperti ini dapat melahirkan semangat suka mengikuti pelbagai pertandingan yang berbentuk keislaman dan menjadikan masjid sebagai tempat perkumpulan masyarakat Islam tidak kira tua atau muda.