Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

107.5 KILOGRAM SAYAP DAN TONGKENG AYAM TANPA PERMIT IMPORT HALAL DIRAMPAS

10 June 2024

107.5 KILOGRAM SAYAP DAN TONGKENG AYAM TANPA PERMIT IMPORT HALAL DIRAMPAS

​  بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Bandar Seri Begawan, Isnin, 03 Zulhijjah 1445 bersamaan 10 Jun 2024–Satu operasi bersepadu telah dijalankan oleh pegawai-pegawai penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syar'iah, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada 06 Jun 2024 kira-kira pada jam 9.45 malam di sebuah kedai runcit kawasan Kampung Sungai Buloh.  Hasil operasi tersebut telah berjaya merampas sayap ayam dan tongkeng ayam yang membawa jumlah keseluruhan sebanyak 107.5 Kilogram.  Kes tersebut telah diserahkan kepada pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja untuk siasatan dan tindakan undang-undang mengenainya.

Dalam hubungan ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama ingin mengingatkan kepada pemilik, pengurus, peniaga, pembekal dan pengimpot produk di Negara ini supaya sentiasa berwaspada dan lebih peka terhadap produk-produk import yang akan dijual di pasaraya atau kedai masing-masing dengan memastikan daging mentah yang akan dibawa masuk ke Negara Brunei Darussalam mestilah mempunyai Permit Import Halal daripada Majlis Ugama Islam.  Perkara ini adalah mustahak dan perlu dipatuhi agar daging yang dibawa masuk dan dijual di Negara ini khususnya kepada orang Islam adalah terjamin kehalalannya demi menjaga maslahat masyarakat Islam di Negara ini.

Kementerian Hal Ehwal Ugama juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih di atas maklumat berhubung perkara tersebut dan bagi orang ramai yang ingin membuat pengaduan serta perkongsian maklumat mengenai sebarang pelanggaran undang-undang melibatkan daging halal bolehlah dibuat terus ke Jabatan Hal Ehwal Syariah melalui Bahagian Kawalan Makanan Halal dengan menghubungi talian hotline 7166222 atau mana-mana pejabat Bahagian Kawalan Makanan Halal di setiap daerah.

Bagi menjaga kemaslahatan masyarakat Islam di Negara ini, pegawai-pegawai Penguatkuasaan Bahagian Kawalan Makanan Halal, Jabatan Hal Ehwal Syariah bersama-sama agensi penguatkuasaan lain akan sentiasa menjalankan operasi dan pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan tiada pelanggaran dibuat terhadap peruntukan undang-undang, kehendak-kehendak dan syarat-syarat pensijilan Halal.

 

Foto: JHES