Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS KHATAM AL-QURAN BAGI MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA ANTARABANGSA BRUNEI (ISB), KAWASAN BRUNEI IIA BAGI TAHUN 1445H / 2024M

21 June 2024

MAJLIS KHATAM AL-QURAN BAGI MURID-MURID DARJAH VI SEKOLAH UGAMA ANTARABANGSA BRUNEI (ISB), KAWASAN BRUNEI IIA BAGI TAHUN 1445H / 2024M

​  بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Bandar Seri Begawan, Jumaat, 14 Zulhijjah 1445 bersamaan 21 Jun 2024–Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman berkenan berangkat ke Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Ugama Antarabangsa Brunei (ISB), Kawasan Brunei IIA, untuk meraikan seramai 29 orang murid Darjah VI sekolah berkenaan yang terdiri daripada 17 orang murid lelaki dan 12 orang murid perempuan setelah berjaya mengkhatamkan bacaan Al-Quran 30 Juz.  Majlis Khatam Al-Quran tersebut berlangsung petang tadi di Dewan Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Antara peserta khatam yang diraikan di majlis tersebut ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah binti Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah.

 

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung oleh Yang Mulia Ustaz Haji Shamshol bin Haji Omar, Pengarah Pengajian Islam, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Pengerusi Majlis iaitu Cikgu Dayang Hajah Intan Khairani binti Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Yahya, Guru Besar Sekolah Ugama Antarabangsa Brunei.  Majlis turut dihadiri oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Berangkat sama anakanda-anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda 'Abdul Muntaqim; Yang Teramat Mulia Pengiran Muda Muhammad Aiman; dan Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Faathimah Az-Zahraa' Raihaanul Bolkiah.

 

Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Awang Haji Abd Razak bin Haji Mohd Daud.  Diikuti dengan bacaan ayat-ayat lazim oleh para peserta Khatam.  Majlis diserikan lagi dengan bacaan Takhtim daripada murid-murid Darjah IV dan V.  Manakala Doa Khatam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Muhammad Iqbal Irfan bin Hirman, salah seorang peserta khatam.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman juga berkenaan mengurniakan sijil-sijil Khatam kepada para peserta Khatam.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah seterusnya berkenaan menerima pesambah yang disembahkan oleh Guru Besar Sekolah Ugama Antarabangsa Brunei.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Ustaz Awang Haji Abd Razak bin Haji Mohd Daud.
Majlis Khatam Al-Quran diadakan bertujuan untuk menggalakkan murid-murid membaca Al-Quran dengan tartil (betul dan lancar) sehingga dapat mengkhatamkan Al-Quran sebelum menamatkan Darjah VI persekolahan ugama.  Di samping untuk membudayakan pembacaan Al-Quran sebagai amalan kebiasaan dalam rutin kehidupan sehari-hari, ianya juga sebagai menyahut dan merealisasikan hasrat Kerajaan untuk melahirkan generasi celik Al-Quran.




Foto: JPI