Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PEMBERIAN HADIAH KEPADA ANAK-ANAK DAMIT YANG LAHIR PADA 01 MUHARRAM SEMPENA SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1446

08 July 2024

MAJLIS PEMBERIAN HADIAH KEPADA ANAK-ANAK DAMIT YANG LAHIR PADA 01 MUHARRAM SEMPENA SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1446

​  بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم​

Bandar Seri Begawan, Isnin, 02 Muharram 1446 bersamaan 08 Julai 2024–Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Kemajuan Syiar Islam, mengungkayahkan Majlis Pemberian Hadiah kepada Anak-Anak Damit yang Lahir pada 01 Muharram sempena Sambutan Ilal Hijrah 1446.  Majlis diadakan pagi tadi bertempat di Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku Tetamu-Tetamu Khas di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Datin;  Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi  bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Datin; Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan dan Datin;  dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd. dan Pengiran Datin.

Pemberian hadiah untuk anak-anak damit yang diraikan telah disempurnakan oleh Tetamu-Tetamu Khas iaitu Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, Menteri Hal Ehwal Ugama dan isteri, Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi;  dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan dan isteri, Yang Mulia Datin Dr. Hajah Noraslinah binti Haji Ramlee.

Manakala Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan isteri, Yang Mulia Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili menyempurnakan penyampaian sumbangan berupa Akaun Si Manja bernilai BND$200.00 dan 'Hamper' keperluan anak damit bernilai $ 60.00.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Takaful Brunei Darussalam dan isteri, Yang Mulia Pengiran Datin Hajah Norzana binti Pengiran Haji Rosli juga menyempurnakan pemberian hadiah berupa Baucher bernilai BND$300.00 bagi penyertaan Takaful Nur Savings dan 'Gym Mat'.

Anak-anak damit yang lahir pada 01 Muharram 1446 Hijrah juga menerima hadiah berupa barangan anak damit bernilai $200.00 dan buku ugama daripada Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Tahun ini seramai  lima belas (15) orang anak damit dilahirkan pada 01 Muharram sempena Sambutan Ilal Hijrah 1446, iaitu anak yang lahir bermula masuk waktu Maghrib 01 Muharram hingga berakhirnya waktu Asar 01 Muharram 1446 Hijrah.

Di Daerah Brunei dan Muara, seramai lima belas (15) orang anak damit, iaitu sembilan (9) orang anak damit lelaki dan enam (6) orang anak damit perempuan telah dilahirkan di Pusat Perempuan dan Kanak-Kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bandar Seri Begawan.  Manakala tiada kelahiran di Daerah Belait.

Anak damit pertama yang lahir pada 1 Muharram 1446 pada pukul 7.43 malam ialah anak damit lelaki seberat 3.400 kilogram, anak kepada pasangan Dayang Asnuur Izzah bin Ahmad dan Awang Muhammad Rarmizi bin Ahmad Mahmud.

Manakala anak damit yang terakhir selepas waktu Asar, 1 Muharram 1446 ialah anak damit lelaki seberat 3.210 kilogram iaitu anak damit kepada pasangan Dayang Risi Latip dan Awang Nicholas Kamis iaitu pada jam 5.07 petang.

Kelahiran anak-anak damit pada Sambutan Ilal Hijrah ini diraikan dengan penuh rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam memperingati kedatangan hari yang baik dan bersejarah dalam Islam. Ianya juga menjadikan taqwim hijrah terus mendapat tempat penggunaannya dari masa ke semasa.

 

​Foto: BPAAM