Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS HAFL AT-TAKHARRUJ KALI KE-30 SEKOLAH MENENGAH ARAB LAKI-LAKI HASSANAL BOLKIAH (SMALHB) TAHUN 1446 /2024

10 July 2024

MAJLIS HAFL AT-TAKHARRUJ KALI KE-30 SEKOLAH MENENGAH ARAB LAKI-LAKI HASSANAL BOLKIAH (SMALHB) TAHUN 1446 /2024

​  بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Berakas, Rabu, 04 Muharram 1446 bersamaan 10 Julai 2024–Ke arah mendukung Matlamat Wawasan Brunei 2035 iaitu untuk melahirkan Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah pagi tadi mengadakan Majlis Hafl At-Takharruj Kali Ke-30 bagi meraikan seramai 325 orang pelajar yang berjaya dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB) dan Brunei Cambridge GCE 'A' Level bagi tahun 2023.  Majlis diadakan di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Dari jumlah tersebut, seramai 268 orang pelajar menerima Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei (STPUB), dan 44 orang pelajar menerima sijil Brunei Cambridge GCE 'A' Level.  Di samping itu, seramai 13 orang pelajar yang mengambil jurusan Arab dan Umum telah menerima kedua-dua sijil peperiksaan awam tersebut.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis Hafl At-Takharruj Kali Ke-30 Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah ialah Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama yang juga menyempurnakan penyampaian sijil kepada pelajar-pelajar berkenaan.

Majlis Hafl At-Takharruj diadakan bertujuan untuk memberigakan dan memartabatkan pendidikan Islam dan Arab kepada masyarakat Negara Brunei Darussalam; menzahirkan kegembiraan, kesyukuran serta penghargaan di atas kejayaan pelajar di dalam peperiksaan STPUB dan BC GCE 'A' Level serta memotivasikan pelajar-pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran berserta terjemahan; Selawat Tafrijiyyah; Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Lagu Rasmi Sekolah.  Diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Ustazah Dayang Hajah Azizah binti Haji Mohamad, Pemangku Pengetua Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah  selaku Pengerusi Majlis. 

Majlis dimeriahkan dengan persembahan dan seterusnya penyampaian sijil serta hadiah kepada pelajar-pelajar Sijil Tinggi Pelajaran Ugama Brunei  dan Brunei Cambridge GCE 'A' Level dan disusuli dengan 11 orang pelajar menerima Penghargaan Khas dan seorang Anugerah Pelajar Mithali. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Yang Mulia Ustaz Awang Md Saiful Wafi bin Haji Adis.

 

​Foto: JPI