بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Berkas, Selasa, 17 Muharram 1446 bersamaan 23 Julai 2024–Kementerian Hal Ehwal Ugama petang tadi menerima lawatan daripada Lembaga Pengembangan Tilawatil Qur'an, Provinsi Kalimantan Barat, Republik Indonesia. Rombongan seramai 6 orang diketuai oleh Brigjen Polisi (Purn) Drs. H. Andi Musa, SH, MH, selaku ketua rombongan.
Hadir sama bagi mengalu-alukan kedatangan rombongan ialah Yang Mulia Awang Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Tujuan lawatan rombongan dari Kalimantan Barat ini ialah untuk menyampaikan mengenai Musabaqah Tilawatil Qur'an (MTQ) Antarabangsa se-Borneo dijadualkan setiap dua tahun sekali. MTQ Pertama telah diadakan pada tahun 2023. Manakala MTQ Kedua akan diadakan pada tahun 2025, di Kuching, Sarawak, Malaysia selaku tuan rumah. Kategori yang dipertandingkan adalah Kategori Tilawah Al-Qur'an bagi peserta berumur antara 17 hingga 40 tahun dengan syarat belum pernah menjadi juara MTQ/Seleksi Tilawatil Qur'an (STQ) Nasional dan Antarabangsa Peringkat Dewasa; dan Kategori Hafazan Al-Qur'an 15 Juz' bagi peserta berumur antara 15 - 25 tahun dengan syarat belum pernah menjadi juara MTQ/STQ Nasional dan Antarabangsa dalam Kategori Hafazan Al-Qur'an 20 juz' dan 30 juz'.
Lembaga Pengembangan Tilawatil Qur'an (LPTQ) merupakan lembaga rasmi yang memberikan pengajaran dan mengembangkan berbagai cabang ilmu mengenai Al-Qur'an dari segi bacaan, penulisan dan pemahaman isi kandungannya.













Foto: BPAAM