بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Republik Singapura, Rabu, 18 Muharram 1446 bersamaan 24 Julai 2024–Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS ke-48 pada bulan November 2024. Sebagai persediaan awal, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sekretariat MABIMS telah diadakan di Republik Singapura pada 24 Julai 2024.
Delegasi Negara Brunei Darussalam dari Kementerian Hal Ehwal Ugama terdiri daripada Yang Mulia Pengiran Anak Dr. Haji Amiruddin Alam Shah bin Pengiran Anak Haji Ismail, Ketua Bahagian Dasar dan Strategik, selaku Ketua Delegasi; Yang Mulia Dayang Rosyanti binti Haji Lamat, Pemangku Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS; dan Yang Mulia Pengiran Muhammad Azrin bin Pengiran Jarail, Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat I, Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Yang Mulia Tuan Ibrahim Sawifi dari Sekretariat MABIMS Republik Singapura, bertujuan untuk membincangkan Laporan Pelaksanaan Fokus Strategik di bawah Rancangan Strategik MABIMS 2021-2025. Fokus utama termasuk 'Penghayatan Beragama' oleh Republik Indonesia, 'Kesejahteraan Sosial' oleh Malaysia, 'Potensi Belia' oleh Brunei Darussalam, dan 'Keharmonian Serantau' oleh Republik Singapura. Dalam mesyuarat ini, Brunei Darussalam turut membentangkan persiapan sebagai tuan rumah Mesyuarat SOM ke-48 yang dijadualkan pada bulan November depan.
Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil-wakil dari empat negara anggota MABIMS, iaitu Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia, dan Republik Singapura. Kehadiran delegasi Brunei Darussalam menunjukkan komitmen negara dalam menyokong semangat kerjasama MABIMS dan memastikan pelaksanaan program-program yang telah dipersetujui.
Brunei Darussalam komited untuk memajukan kerjasama antara negara anggota MABIMS dan mencapai matlamat strategik yang telah ditetapkan. Negara ini menantikan untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS ke-48, menyumbang secara signifikan kepada kerjasama serantau dan kemajuan strategik.

