بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Kiarong, Juma'at malam Sabtu, 21 Muharram 1446 bersamaan 26 Julai 2024-Bagi menzahirkan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan dengan berkat kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta atas keamanan dan kemakmuran negara, kesefahaman antara raja dan rakyat serta perpaduan semua lapisan masyarakat pada mendukung usaha-usaha meneruskan pembangunan bagi mencapai kesejahteraan dan kemajuan yang seimbang dan semangat patriotik dan kecintaan rakyat terhadap raja yang dikasihi di samping mengajak masyarakat untuk mengamalkan Munajat secara istiqamah sebagai langkah menjaga keselamatan diri, keluarga, masyarakat dan negara serta menolak segala musibah dan bencana, Kementerian Hal Ehwal Ugama malam tadi mengadakan Malam Munajat Senegara sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 bagi Tahun 2024.
Malam Munajat Senegara adalah secara fizikal dengan tumpuan utama di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong yang dihadiri sama oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet; Yang Mulia Timbalan-Timbalan Menteri; Ahli-Ahli Majlis Ugama Islam Brunei; Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; Setiausaha-Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dan warga kementerian-kementerian; serta ahli Jawatankuasa Takmir dan para jemaah yang hadir secara fizikal mahupun secara maya dari 75 buah masjid termasuk surau dan balai ibadah di seluruh negara dan juga dari rumah-rumah persendirian.
Para tetamu khas, jemputan dan jemaah terlebih dahulu menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah. Diikuti Sembahyang Sunat Hajat berjemaah.
Malam Munajat Senegara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dari Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampong Kiarong.
Program diserikan lagi dengan Tazkirah mengenai Keberajaan bertajuk “Menyambut Hari Keputeraan Dengan Semangat Ilal Hijrah" disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan dari Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kiarong. Tajuk tersebut mengambil sukut baik menyambut dan meraikan detik bersejarah Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-78 yang kebetulan berlaku dalam tahun baru Hijrah 1446. Tazkirah antaranya menjelaskan pengertian Hijrah iaitu “peralihan atau perpindahan dari perkara yang tidak baik kepada yang baik atau yang lebih baik, dan dari tidak mematuhi hukum syarak kepada mematuhi hukum syarak."
Selesai Tazkirah, bacaan Doa Munajat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Yang Mulia Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei dari Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong. Kemudiannya, Sembahyang Fardhu Isya' berjemaah.
Malam Munajat Senegara Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 bagi Tahun 2024 diadakan secara serentak di masjid-masjid utama di 3 daerah yang lain iaitu Daerah Tutong, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong; Daerah Belait diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; dan Daerah Temburong, Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.
Hadir selaku Tetamu Khas di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.
Daerah Belait, di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, hadir selaku Tetamu Khas dan juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah ialah Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah, Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri.
Di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong, hadir selaku Tetamu Khas yang juga memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Daerah Brunei Muara







Daerah Temburong






Daerah Belait



Daerah Tutong


Foto: PDI, JHEM, PHEU Daerah Belait, PHEU Daerah Tutong dan PHEU Daerah Temburong