بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Kilanas, Rabu, 25 Muharram 1446 bersamaan 31 Julai 2024–Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Mukim Kilanas pagi tadi mengadakan Majlis Bacaan Ratib Al-Attas dan Tazkirah bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 bagi Tahun 2024 bertempat di masjid berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Datin Hajah Nahriah binti Haji Awang Asbi, Isteri Menteri Hal Ehwal Ugama.
Pengisian atur cara program keugamaan termasuk bacaan Ratib Al-Attas dan Tazkirah bertajuk "Pemimpin Berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah" disampaikan oleh Yang Mulia Dayang Hajah Rosita binti Haji Yahya, Daie Bertauliah Majlis Ugama Islam Brunei.
Antara tujuan acara ini diadakan adalah untuk menyemarakkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan menzahirkan rasa cinta dan taat setia kepada raja yang dikasihi. Di samping untuk melazimkan diri dengan bacaan wirid dan zikir dalam kehidupan seharian serta merafakkan doa kehadrat Allah Subhanahu Wa Ta'ala, ianya juga dihasrat untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim dalam kalangan muslimah masjid melalui program keugamaan yang diadakan di masjid.