Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

BENGKEL E TO SOUL BELIA ISLAM MABIMS 2024 BERAKHIR: PESERTA DIBEKALKAN DENGAN KEMAHIRAN DAKWAH

31 July 2024

BENGKEL E TO SOUL BELIA ISLAM MABIMS 2024 BERAKHIR: PESERTA DIBEKALKAN DENGAN KEMAHIRAN DAKWAH

​بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم

Gadong, Rabu, 25 Muharram 1446 bersamaan 31 Julai 2024–Seramai 38 peserta yang telah berjaya menamatkan Bengkel E to Soul (اتصال) 2024 telah menerima sijil mereka dalam majlis penutup yang diadakan di Hotel Centrepoint pagi tadi.  Bengkel ini dianjurkan oleh Bahagian Perhubungan Awam, Antarabangsa dan MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama.  Bengkel ini diadakan selama tiga (3) hari, dari 29 hingga 31 Julai 2024.  Penerima sijil termasuk 22 peserta dari Negara Brunei Darussalam, 5 peserta dari Republik Indonesia, 6 peserta dari Malaysia, dan 5 peserta dari Republik Singapura.

Hadir selaku Tetamu Kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Pengerusi Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan (SOM) MABIMS, Negara Brunei Darussalam.  Turut hadir, Yang Mulia Awang Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Haji Mohammad Zulhilmi bin Haji Omar Ali, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) serta pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Di bawah Pelan Strategik MABIMS 2021-2025, Negara Brunei Darussalam telah diberi amanah untuk merancang dan melaksanakan program yang menumpukan kepada Potensi Belia. Fokus strategik ini menekankan empat tema utama: Belia Holistik, Belia Usahawan, Belia Global, dan Belia Da'ie. Untuk membangunkan tema-tema ini, kemahiran komunikasi yang efektif adalah penting.  Oleh itu, program jangka pendek, Bengkel E to Soul (اتصال) telah diadakan untuk belia Islam MABIMS.

Objektif Bengkel E to Soul (اتصال) termasuk menghasilkan Belia Da'ie yang berpotensi untuk menyampaikan dakwah melalui media sosial; mendedahkan Belia Da'ie kepada teknik dakwah, kemahiran bahasa, dan komunikasi yang efektif; membangunkan sikap positif dan aspirasi tinggi dalam kalangan Belia Da'ie untuk menggambarkan imej diri yang sesuai; dan meningkatkan keyakinan diri Belia Da'ie sebagai pemimpin dalam menyampaikan mesej dan dakwah.

Bengkel E to Soul (اتصال) berjaya melengkapkan peserta dengan kemahiran asas dalam komunikasi, penglibatan media sosial, dan teknik dakwah yang berkesan. Para peserta melaporkan peningkatan keyakinan dalam keupayaan mereka untuk menyampaikan mesej yang berimpak dan berinteraksi dengan komuniti mereka. Selain itu, memupuk semangat perpaduan dan kerjasama antara belia dari negara anggota MABIMS yang berbeza.

Bengkel tersebut menampilkan beberapa fasilitator dari Negara Brunei Darussalam dan Malaysia, termasuk Yang Mulia Ustazah Pengiran Norhayati binti Pengiran Haji Kasharan dari Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak dari Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Kementerian Hal Ehwal Ugama; Yang Mulia Md Adam @ Chong dari Matters.oc; serta Yang Mulia Ustaz Mohd Hariri bin Haji Mohd Daud dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.



 

​Foto: BPAAM