بِسْمِ ٱللّٰهِ ٱلرَّحْمٰنِ ٱلرَّحِيم
Tutong, Rabu, 25 Muharram 1446H bersamaan 31 Julai 2024M–Ke arah mendukung matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan Rakyat yang Berpendidikan, Berkemahiran Tinggi dan Berjaya, Ma'had Islam Brunei pagi tadi mengungkayahkan 'Sibaq Al-Muhaqqiqin' (The Great Detective Race) iaitu pertandingan mencari petunjuk; mengumpul dan menyelesaikan tugasan yang diadakan di sekolah berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Khas majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Azman bin Haji Jaya, Ketua Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Ustaz Awang Muhammad Noor Hidayat bin Haji Ismail dan seterusnya ucapan alu-aluan dari Yang Mulia Ustazah Dayang Sarimah binti Haji Ahmad, Pemangku Pengetua Ma'had Islam Brunei.
Pada program tersebut, Ma'had Islam Brunei, Tutong telah berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan mencari petunjuk; mengumpul dan menyelesaikan tugasan; Tempat Kedua ialah Sekoleh Arab Temburong dan Tempat Ketiga pula dari Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha.
Program tersebut melibatkan seramai 50 orang pelajar Tahun 8 dari 5 buah sekolah Arab, iaitu Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah; Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; Sekolah Arab Belait; Sekolah Arab Temburong dan Ma'had Islam Brunei selaku tuan rumah.
Antara tujuan program diadakan adalah bagi menyuntik semangat para pelajar dan meningkatkan motivasi serta kegigihan dalam usaha mencapai kejayaan dalam Peperiksaan Student's Progress Examination (SPE) yang akan datang. Selain itu, aktiviti ini juga untuk menanamkan sifat bekerjasama dan saling menghormati sesama rakan.
Acara yang dijalankan ini merupakan salah satu perisian Program Ilal Majdi Wal 'Ula anjuran Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam bagi mendukung inisiatif Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2020-2024.















Foto: JPI